Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, penangguhan kementerian itu mengumumkan fakta sebenar mengenai perkara berkenaan dilihat boleh mengelirukan kaum terbabit.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki ada perkara lain yang disembunyikan kementerian selepas mengambil sampel air sungai dan tadahan air bukit yang digunakan Orang Asli itu sebelum ini.

“Berdasarkan luahan penduduk di Kampung Kuala Koh punca sebenar penularan penyakit berjangkit itu dipercayai berpunca daripada penggunaan air bukit dan sungai kotor yang mengandungi bahan kimia.

“Saya juga mendapat maklumat daripada persatuan doktor perubatan swasta negara ini yang membuat kajian ke atas air keperluan kaum itu memang disahkan pencemaran berpunca daripada lombong bijih mangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menyerahkan bungkusan makanan berupa telur dan sayur-sayuran kepada 58 keluarga Orang Asli supaya mereka mendapat bekalan makanan berzat.

Tambah Hang Soon, berdasarkan hasil kajian itu mendapati air tadahan bukit dan sungai digunakan penduduk kampung terbabit mengandungi 25 kali ganda bahan kimia dari lombong berdekatan.

Katanya, kandungan bahan berbahaya itu lebih tinggi daripada kadar kebersihan sebenar penggunaan air yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bukti punca pencemaran air sudah ada apabila pihak kerajaan dan kementerian menggalakkan Orang Asli menggunakan air bersih yang dibekalkan dan tidak menggunakan air sungai di kawasan penempatan mereka.

“Rakyat negara ini dan masyarakat Orang Asli tertunggu-tunggu keputusan bedah siasat yang masih belum diumumkan. Tindakan sambil lewa berkaitan siasatan kes itu kita anggap mereka mahu menyembunyikan fakta sebenar punca jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberi bantuan kepada penduduk kampungnya.

Bagaimanapun, katanya, penduduk masih belum berpuas hati selagi pihak kerajaan tidak mengumumkan perkara sebenar serta tidak mempercayai kaum mereka dijangkiti penyakit demam campak.

- Utusan Online-