Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, apabila SPR dikendalikan oleh seorang individu, tanpa ada periksa dan imbang oleh ahli lain dikhuatiri keputusan yang dibuat adalah memihak kepada pihak tertentu semata-mata.

“Persoalannya masalah ini disedari oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mengapa kekosongan ini tidak diisi dengan segera?

“Apakah tidak ada calon yang layak untuk mengisi kekosongan itu,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mengikut Jadual 11 Item 33C secara dasarnya menyatakan kuasa-kuasa sesuatu lembaga dan sebagainya tidak terjejas dengan kewujudan kekosongan.

“Ini adalah satu peruntukan am tetapi sekiranya terdapat niat yang berlawanan, maka keputusan lembaga berkenaan mungkin akan dipertikaikan atau dipersoalkan,” ujar beliau.

Kata beliau, isu seterusnya ialah kenapa sebuah institusi yang sebegitu penting seperti SPR dibiarkan dengan keanggotaan seorang pengerusi sahaja yang seterusnya menimbulkan keupayaan SPR berfungsi secara berdikari tanpa memihak kepada parti pemerintah khususnya kerana pelantikan mereka adalah atas nasihat Perdana Menteri.

“Umum akan melihat bahawasanya kecenderungan “biasness” atau berat sebelah adalah lebih berkemungkinan sekiranya kuasa mutlak diletak pada seorang sahaja berbanding dengan dianggotai oleh beberapa orang.

“Maka MCA menyarankan agar kekosongan anggota SPR diisikan dengan segera tanpa berlengah supaya SPR dapat menjalankan kerja dengan lebih sempurna dan mengikut semangat dan peranannya sebagai satu institusi yang berdikari dan adil lebih-lebih lagi dalam suasana kekecohan politik tanah air mutakhir ini.

“MCA mengharapkan semangat “Kedaulatan Undang-Undang” dan “Keluhuran Perlembagaan” dapat ditegakkan selaras dengan landasan Malaysia Baharu yang dijanjikan pada rakyat dan menjadi pilihan rakyat.

Pada masa ini sedang berlangsung Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands dan akan datang adalah Semenyih, sedangkan kekosongan jawatan tersebut difahamkan berlaku sejak Oktober lalu.

- Utusan Online-