Ia berikutan keputusan Mohamad Ariff semalam yang tidak merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas menggunakan perkataan ‘merompak’ dalam sidang Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho Kwok Xheng berkata, Mohamad Ariff sepatutnya bersikap adil dan berkecuali dalam kes itu.

“Tindakan Guan Eng yang menuduh Barisan Nasional (BN) ‘merompak’ wang cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu memang tidak patut dan jika dibiarkan begitu sahaja bakal menjejaskan maruah dan integriti Dewan Rakyat.

“Lebih teruk lagi, Guan Eng masih enggan memohon maaf, sebaliknya masih mencari alasan untuk mempertahankan tuduhannya walaupun sudah disahkan bahawa tiada wang dicuri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mohamad Ariff dikritik barisan ahli Parlimen pembangkang apabila membuat kesimpulan ucapan Guan Eng pada Ogos tahun lalu tiada unsur provokasi dan tidak mengelirukan.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu bersifat berat sebelah kerana laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memuktamadkan bahawa wang bayaran balik GST tidak dirompak.

Mengulas lanjut, Ryan Ho berkata, tuduhan yang dilemparkan Guan Eng sebenarnya bersifat tuduhan jenayah dan ia sememangnya sudah cukup untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Memang tidak masuk akal mengapa Yang Dipertua masih cuba melindungi Guan Eng,” katanya.

– Utusan Online-