Keputusan sama ada misi pencarian penerbangan Malaysia Airlines MH370 akan disambung semula atau tidak bergantung kepada penemuan pakar dan juga persetujuan tiga negara terlibat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ini kerana segala maklumat yang diterima, termasuk daripada Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO), perlu diteliti dan dipastikan kesahihannya terlebih dahulu oleh Pasukan Bertindak MH370 yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

“Kita tunggu dulu keputusan pakar. Kita tidak boleh buat kesimpulan begitu sahaja. Pihak jawatankuasa di bawah pimpinan Datuk Azharuddin Abdul Rahman akan meneliti fakta-fakta yang diberikan kepada kita dan baharu semalam CSIRO bentangkan maklumat ini.

“Kita kena tengok ini fakta lama atau baharu… sama ada fakta ini boleh meyakinkan dan dipertimbangkan oleh ketiga-tiga negara Malaysia, China dan Australia untuk melihat kembali keputusan bersama menggantung misi pencarian MH370,” katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Milik Mesin-mesin Kerja Trek kepada Fajarbaru Builder Group Berhad (Fajarbaru) di tapak pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Tengku di sini, hari ini.

Liow berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media semalam yang memetik saintis utama CSIRO, David Griffin bahawa agensi itu berjaya mengecilkan kawasan pencarian kepada tiga lokasi khusus, berdasarkan imej satelit yang diambil dua minggu selepas MH370 hilang.

Laporan itu juga menyebut bahawa kerajaan Australia bagaimanapun menolak kajian CSIRO kerana dikatakan tidak cukup tepat.

Pada 8 Mac 2014, MH370 yang membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sekali gus membawa kepada operasi pencarian besar-besaran melibatkan berbelas-belas negara.

Operasi ini kemudian ditumpukan di selatan Lautan Hindi dan dijalankan secara bersama oleh tiga negara, Malaysia, China dan Australia. Bagaimanapun pada 17 Jan lalu operasi itu digantung sehingga ada petunjuk baharu.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata projek menaik taraf landasan kereta api menghubungkan Gemas di Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan sejauh 550 kilometer oleh kerajaan persekutuan yang menelan belanja RM800 juta, dijangka siap pada 2020.

Katanya projek yang dibahagikan kepada tiga pakej iaitu Tumpat-Gua Musang, Gua Musang-Mentakab dan Mentakab-Gemas itu perlu dilaksanakan ekoran keadaan landasan rosak akibat banjir besar pada 2014 serta faktor usia kerana ada antara laluan itu dibina pada 1903.

“Apabila landasan kereta api baharu siap, ia dapat menambah kelajuan kereta api yang pada masa kini hanya 60 kilometer sejam (km/j) kepada 90km/j dan ini dapat memendekkan tempoh perjalanan dari Gemas ke Tumpat selama 12 jam,” katanya.

Beliau menambah penambahbaikan landasan itu juga turut mengambil kira faktor banjir di pantai timur pada hujung tahun dengan perancangan meninggikan landasan di kawasan yang sering dilanda bencana tersebut.

Liow menyifatkan projek itu sebagai “tepat pada masanya” kerana seiring dengan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut melalui Mentakab, sekali gus menjadikan daerah itu sebagai stesen pertukaran pada masa depan.

Berhubung Fajarbaru, Liow berkata syarikat itu terlibat dalam kerja menaik taraf landasan dari Jerantut ke Gua Musang, bernilai RM259 juta.

– Bernama