18 Oktober 2019

Kenyataan Media Timbalan Pengerusi Pemuda MCA Kebangsaan, Sdr. Tan Chee Hiong

Apa jaminan cukai perkhidmatan digital tidak membebankan pengguna?

Kerajaan Pakatan Harapan digesa menjelaskan bagaimana cukai digital bagi perkhidmatan atas talian akan dilaksanakan, serta memberi jaminan bahawa ia tidak membebankan pemain industri dan pengguna.   

Ini kerana pelbagai perkhidmatan digital seperti Netflix, Apple Music, Google Store dan Spotify, yang amat popular di kalangan pemuda, bakal dikenakan cukai digital 6%.

Sekali imbas, cukai perkhidmatan digital memang dilihat mampu membekalkan platform yang lebih adil dan telus untuk syarikat-syarikat perkhidmatan digital, malah firma perundingan cukai Axcelasia Taxand Sdn Bhd juga mengumumkan bahawa kerajaan bakal menjana pendapatan RM2.4 bilion setiap tahun. Namun, kerajaan masih belum menjelaskan bagaimana cukai tersebut akan dilaksanakan. Adakah ia akan dikenakan ke atas syarikat, seperti Google, ataupun ke atas pengguna?

Selain itu, bagaimanakah cukai digital ini boleh menggalakkan lebih ramai pemain industri tempatan dan membantu mereka bersaing dengan syarikat luar negara? Kerajaan seharusnya membentangkan dasar-dasar spesifik dan bukan hanya bercakap sahaja. 

Demi melindungi hak dan kepentingan pengguna, kerajaan wajar memberi penjelasan komprehensif mengenai pelaksanaan cukai digital pada tahun depan dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan membebankan pengguna. Kalau tidak, maka cukai baharu ini akan menjadi satu lagi beban yang perlu ditanggung rakyat, di samping cukai minuman bergula dan levi pelepasan yang baru dilaksanakan.     

Kami berharap bahawa kerajaan akan prihatin terhadap kesusahan rakyat, dan tidak akan mengambil kesempatan untuk mengenakan cukai atas aktiviti hiburan rakyat.

-MCA online-