18 Oktober 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Sdri Nicole Wong

Kebajikan rakyat dipotong, tetapi masih ada peruntukan untuk perlumbaan F1?

Ia didedahkan dalam pembentangan Bajet 2020 bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Sdn Bhd akan menerima geran kerajaan bernilai RM37.5 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Soalannya, bagaimanakah jumlah sebesar ini akan dibelanjakan, dan adakah ia selari dengan kepentingan rakyat? 

Lebih-lebih lagi apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa peruntukan untuk kebajikan dan Pendidikan telah diketatkan. Oleh itu, ia memang mengejutkan apabila RM37.5 juta telah diketepikan untuk SIC Sdn Bhd.

Rakyat sekarang bertanya jika kerajaan bercadang menganjurkan semula acara perlumbaan Formula 1 (F1) yang sebelum ini dikatakan merugikan negara dan memerlukan kos operasi yang tinggi? Jadi, adakah sebab lain disebalik keputusan kerajaan?

Dalam Bajet 2018 dan 2019, tiada sesen pun diperuntukkan kepada SIC Sdn Bhd. Oleh itu, mengapa pula adanya peruntukan RM37.5 juta kepada SIC Sdn Bhd bagi tahun depan, lebih-lebih lagi apabila negara sedang mengalami keadaan ekonomi yang lembap?

Ia juga dilaporkan bahawa geran tersebut diberikan terus kepada Kementerian Belia dan Sukan. Adakah ini bermaksud bahawa kelulusan Menteri Kewangan tidak diperlukan terlebih dahulu? 

Jumlah RM37.5 juta bukanlah satu jumlah yang kecil, dan masih terdapat bidang-bidang lain yang lebih memerlukan wang tersebut.

Menurut Bajet 2020, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk Kementerian Belia dan Sukan, di mana RM671 juta adalah untuk perbelanjaan operasi, dan RM37.5 juta daripadanya adalah untuk SIC di bawah klasifikasi “Program Khusus”.

Idea membina SIC tersebut datang daripada Tun Dr Mahathir sendiri semasa beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat, dan projek ini disiapkan pada 1999, dimana beliau sendiri merasmikan perlumbaan F1 pertama di Malaysia pada Mac 1999.

Namun begitu, pada Oktober 2017 kerajaan terdahulu BN telah mengambil keputusan memberhentikan perlumbaan F1 kerana ia tidak mendapat pulangan yang menguntungkan. Sejak hari itu, tiada dana diperuntukkan untuk SICdalam Bajet 2018 dan Bajet 2019.

Oleh itu, rakyat amat terkejut apabila mengetahui kerajaan Pakatan Harapan telah menyediakan peruntukan untuk projek tersebut, lebih-lebih lagi apabila negara sedang mengalami kelembapan ekonomi. Justeru itu, Menteri Kewangan digesa memberi penjelasan kepada rakyat.

-MCA online-