18 Disember 2018

Perginya seorang wira

Pemuda MCA ingin merakamkan salam takziah kepada keluarga anggota bomba Muhammad Adib yang telah meninggal dunia akibat kecederaan dialami semasa menjalankan tugas mengawal rusuhan di kuil Sri Mahamariamman di Seafield, USJ 25 tiga minggu lalu. Ramai akan mengingati beliau sebagai seorang pemuda berbakat yang bersopan dan sering tersenyum. Lebih menyedihkan lagi, beliau juga sedang membuat persiapan untuk perkahwinannya.

Adib yang terkorban demi tugas patut diangkat sebagai wira oleh rakyat Malaysia.

Walaupun terdapat beberapa pihak yang menyalahkan segelintir menteri Pakatan Harapan menghasut kebencian perkauman sehingga menyebabkan rusuhan tersebut, tetapi Pemuda MCA ingin menasihati semua rakyat Malaysia untuk bertenang dan berfikir dengan rasional. Pelaku-pelaku harus dibawa ke muka pengadilan, tetapi siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa perlu dibuat terlebih dahulu. Tindakan menyebar khabar angin tidak membantu situasi ini, dan semua pihak digesa berhenti menghasut kebencian antara kaum.

Oleh kerana pihak polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kami yakin pihak bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan tidak lama lagi. Kita harus menaruh kepercayaan kepada pihak polis untuk menyempurnakan siasatan mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya.

Pihak Bomba juga disaran memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak tragedi seperti ini berulang lagi. Rakyat masih belum pulih daripada tragedi bulan Oktober lalu di mana 6 anggota Bomba telah mati lemas semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Putra Perdana, Puchong. Para anggota penyelamat tidak patut dikorbankan dengan begitu sahaja, dan langkah susulan perlu diambil untuk memperincikan langkah-langkah pembaikan.

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

-MCA online-