Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka membelanjakan lebih RM18 juta bagi membuat pembayaran faedah kepada pencarum dan waris sepanjang pada tahun lalu.

Pengarah Perkeso negeri Abd Razak Omar berkata, jumlah pembayaran itu membabitkan 7,479 kes menerusi enam faedah dibawah pertubuhan itu.

Beliau berkata, jumlah pembayaran faedah itu menurun berbanding RM24 juta dibelanjakan bagi tujuan sama pada tahun 2020.

“Sepanjang tahun lalu pembayaran faedah hilang upaya sementara (HUS) merekodkan pembayaran tertinggi dengan nilai lebih RM8.6 juta membabitkan 5, 498 kes, diikuti hilang upaya kekal (HUK) dengan nilai lebih RM7.1 juta dengan 406 kes.

“Manakala pembayaran faedah pengurusan mayat (FPM) kepada waris pula sejumlah RM1.65 juta dengan bilangan kes sebanyak 864, manakala RM676,000 dibelanjakan untuk membayar Pencen Penakat,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada waris pencarum yang meninggal dunia akibat COVID-19 yang turut dihadiri EXCO Perpaduan Ngwe Hee Sem, di Bukit Lintang, hari ini.

Menurutnya, Perkeso juga turut membuat pembayaran lebih RM670, 000 bagi Pencen Ilat dan sejumlah lebih RM55, 000 untuk bayaran faedah orang tanggungan (FOT) kepada waris pencarum sepanjang tahun lalu.

-Melaka Hari Ini-