Kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor, Dato’ Ng Chok Sin (19 Januari 2022)

Kerjasama kerajaan negeri dan pusat diperlukan untuk menyelesaikan masalah banjir di Selangor

Kerajaan negeri Selangor dan kerajaan pusat digesa bekerjasama untuk mengambil satu pendekatan progresif bagi menangani dan menyelesaikan masalah banjir di Selangor, termasuk kerja-kerja pembaikan atau pemulihan bagi mengelakkan bencana sama berulang.

Selepas darurat banjir yang melanda Shah Alam dan Klang pada bulan lepas, Ahli Parlimen DAP Klang, YB Charles Santiago seperti yang dilaporkan media New Straits Times hari ini, telah menyalahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air serta mendesak tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab. Beliau turut mengkritik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai “langsung tidak kelihatan kelibat mereka”. Namun, beliau tidak pula menjawab di mana agensi-agensi kebajikan kerajaan negeri?

Nampaknya percubaan Santiago untuk menyalahkan kerajaan pusat adalah satu helah untuk mengalih perhatian daripada tindakan saman oleh penduduk Sri Muda terhadap pihak berkuasa kerana kecuaian sehingga menyebabkan berlakunya banjir yang meragut sembilan nyawa. Menurut laporan media Free Malaysia Today bertarikh 16 Januari 2022, antara pihak berkuasa yang dijangka dinamakan dalam saman tersebut adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor.

Taktik Santiago ini bertujuan mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor dalam menguruskan kerja-kerja kerajaan tempatan, seperti memastikan sistem perparitan tidak tersumbat, atau berhenti melakukan aktiviti penebangan hutan atau pembangunan tidak terkawal. Kesemua isu ini adalah dibawah bidang kuasa kerajaan negeri. Malah, agensi-agensi kerajaan pusat yang mempunyai cawangan negeri turut berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sebelum berlaku darurat banjir ini, ramai pihak termasuk penduduk tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan telah lantang menyuarakan bantahan terhadap penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR), aktiviti pembalakan yang tidak diluluskan di Permatang Kuartza Hulu Klang, dan pembersihan kawasan hutan di Bukit Cherakah di mana penduduk Shah Alam telah menyuarakan kebimbangan mereka seawal September 2021. Malangnya, kebimbangan mereka menjadi kenyataan pada 18 Disember 2021 apabila banjir berlaku.

Pada 19 Januari 2022, Santiago menegaskan bahawa beliau akan mendesak kerajaan tempatan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar Klang. Maka, beliau sendiri telah mengakui kegagalan kerajaan negeri di Selangor untuk menjaga sistem perparitan dan kegagalan inilah yang menyumbang kepada berlakunya bencana banjir yang teruk. Oleh itu, jelas sekali kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bersama-sama memainkan peranan berhubung perkara ini. Santiago tidak sepatutnya hanya menyalahkan kerajaan pusat semata-mata.

-MCA online-