19 Februari 2020

Kenyataan Media Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA, Sdr. Ng Kian Nam

Kekurangan topeng muka - Jemputan terbuka kepada Menteri meninjau keadaan sendiri

Jemputan terbuka kepada Menteri Perdagangan Saifuddin Nasution untuk membeli topeng muka di Watsons Seremban 2 minggu ini.

Pada Sabtu lepas, Biro kami telah memberi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tempoh 24 jam untuk mengumumkan sekurang-kurangnya satu (1) kedai di setiap negeri yang masih menjual topeng muka bermulaan pada hari Sabtu. Susulan kegagalan beliau membuat demikian, maka Biro kami menggesa Saifuddin supaya berhenti menipu rakyat dan memohon maaf.

Walaupun pihak kerajaan telah menekankan beberapa kali bahawa tiada keperluan untuk memakai topeng muka, tetapi ini tidak bermaksud bahawa keperluan asas rakyat untuk membeli topeng muka harus diabaikan begitu sahaja, khasnya bagi mereka yang sehingga kini langsung tiada sebarang topeng muka atau kumpulan kerja berisiko tinggi. Ia merupakan tanggungjawab asas kerajaan untuk memastikan rakyatnya dapat membeli topeng muka di pasaran tempatan sebagai langkah pencegahan Covid-19 dalam tempoh yang kritikal ini.

Sebelum ini kebanyakan kerajaan negara-negara lain, termasuk China yang juga merupakan pengeksport terbesar topeng muka, telah berhenti mengeksport barang berkenaan dan memberi keutamaan kepada rakyat sendiri. Namun begitu, kerajaan Malaysia pula dilihat seakan membelakangkan rakyat sendiri apabila masih membenarkan lima pengilang topeng muka tempatan yang hanya ada bekalan terhad untuk terus mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara demi meraih keuntungan yang lebih besar.

Adakah Menteri KPDNHEP masih tidur atau tersalah pakai topeng mata sehingga tak nampak sengsara rakyat sebenar?

Lebih-lebih lagi, pada masa rakyat jelata semakin terdesak kerana kekurangan topeng muka untuk melindungi diri daripada wabak ini, Menteri Saifuddin pula masih enggan mengakui hakikat ini dan sebalinya mengatakan bahawa Taiping masih ada bekalan topeng muka dan hanya negeri-negeri tertentu seperti Johor mengalami kekurangan stok.

Oleh itu, demi memberi Saifuddin peluang untuk membuktikan kebenaran tuduhuan beliau bahawa masalah kekurangan topeng muka di Malaysia hanya suatu ilusi , Biro kami dengan tulus ikhlasnya menjemput Menteri Dato’ Saifuddin Nasution Ismail untuk bersama-sama dengan ketua Biro kami Sdr. Ng Kian Nam dan rakyat jelata untuk bersama-sama membeli topeng muka seperti berikut:

Tarikh: 22.02.2020 (Sabtu)
Masa: 11.00 pagi
Tempat: Watsons, Lot G01, Tingkat Bawah, AEON Mall Seremban 2,
No112, Persiaran S2 B1, 70200 Seremban, Negeri Sembilan.

Memandangkan Watsons merupakan antara rangkaian kedai farmasi yang terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 500 cawangan di seluruh negara, Biro kami percaya bahawa ia adalah indikator yang amat sesuai untuk menentukan samada negara masih ada bekalan topeng muka yang mencukupi.

Biro kami juga yakin bahawa Menteri Saifuddin akan menerima jemputan kami di bawah semangat demokrasi untuk memperbaiki kesilapannya dan memastikan terdapatnya bekalan topeng muka yang mencukupi pada hari tersebut di kedai tersebut dan semua kedai lain di seluruh negara, malah mencontohi langkah kerajaan Singapura dalam memberi topeng muka kepada setiap penghuni rakyatnya secara percuma.

-MCA online-