Kerajaan disaran menambah peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan agensi itu menjalankan fungsinya dengan lebih baik susulan kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia bagi membolehkan SPR benar-benar berfungsi menjalankan tanggungjawabnya.

“Jika kita lihat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kos bagi menjalankan pilihan raya adalah kira-kira RM450 juta yang mana ketika itu membabitkan jumlah pengundi 14.95 juta dan 240,000 petugas.

“Jadi dijangka PRU-15 akan membabitkan peningkatan jumlah pengundi sehingga 22.5 juta termasuk pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik.

“Disebabkan itu, penambahan peruntukan mungkin RM1 bilion perlu diperuntukkan kepada SPR supaya ia benar-benar dapat menjalankan fungsinya.

“Malah kerajaan juga perlu mewujudkan pejabat SPR di setiap daerah dalam memudahkan urusan pilihan raya di negara ini susulan pindaan itu,” katanya yang menjadi panel pada ‘Forum Make A Change, Let’s Do It Together’ anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menambah perjawatan di SPR.

Selain itu, katanya SPR dan agensi kerajaan lain perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal dan infrastruktur sebelum melaksanakan pendaftaran automatik pengundi umur 18 tahun.

Katanya, isu alamat adalah masalah yang masih belum diselesaikan sehingga kini memandangkan masih terdapat pengundi belum menukar alamat walaupun telah berpindah ke tempat lain.

“SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu melihat perkara ini agar isu teknikal tidak timbul sewaktu pilihan raya berlangsung,” katanya.

Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

RUU itu mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh SPR dilaksanakan sebaik saja seseorang warganegara mencapai usia 18 tahun.

Turut dipinda dalam RUU itu untuk menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun.

-Berita Harian-