Palsukan sijil vaksinasi : Batalkan lesen perubatan doktor terlibat

Kita semua amat menghargai profesion perubatan di atas usaha mereka menyelamatkan nyawa pesakit sebelum penularan COVID-19, namun masih tidak dinafikan masih terdapat segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab dan melihat penularan pandemik ini sebagai peluang untuk meraih keuntungan.

Pendedahan media berhubung kegiatan klinik swasta yang dipercayai menjalankan aktiviti mengeluarkan sijil digital vaksinasi secara tidak sah sejak beberapa bulan lalu amat mengecewakan. Media turut melaporkan klinik yang pernah terlibat dengan aktiviti tidak bertanggungjawab sebelum ini telah mengenakan caj sehingga RM3,500 untuk perkhidmatan itu, namun mengurangkan harga caj kepada RM500 kerana terdapat 'persaingan'. Ini sekaligus memberi bayangan bahawa terdapat banyak klinik yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini.

Hentikan laman sesawang yang tawarkan sijil vaksinasi palsu

Terdapat juga laporan mengatakan khidmat untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini dijual secara dalam talian. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus menyekat dan menutup laman sesawang tersebut supaya ia tidak lagi dapat dikesan dengan mudah melalui carian menggunakan aplikasi Google.

Walaupun majoriti orang awam telah berusaha sehabis baik untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19, namun tindakan segelintir doktor yang menawarkan sijil vaksinasi palsu demi mengaut keuntungan ini jelas tidak beretika dan menyalahi undang-udang negara. Sijil vaksinasi palsu ini membenarkan individu yang tidak divaksinasi bebas untuk ke mana-mana sahaja. Doktor yang terlibat ini seolah-oleh memberi 'perlindungan' kepada mereka tetapi dalam masa yang sama membahayakan nyawa dan kesihatan orang lain termasuk kanak-kanak yang masih belum terima suntikan vaksinasi

Tindakan yang mereka lakukan ini adalah jalan pintas dan mudah untuk poket masing-masing berbanding melaksanakan kerja hakiki sehingga mereka sanggup melupakan ikrar ‘Hippocratic’ yang pernah dilafazkan antara lain untuk tidak memudaratkan masyarakat.

Senaraihitamkan nama pelaku institusi perubatan antarabangsa

Justeru, saya menyokong sepenuhnya tindakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menggesa Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menggantung lesen dan membatalkan pendaftaran sebagai pengamal perubatan mereka yang didapati bersalah. Mereka ini bukan sahaja telah terlibat dalam kegiatan tidak beretika, malah telah melanggar ikrar ‘Hippocratic’ demi keuntungan sehingga sanggup menggadaikan kesihatan orang awam. Saya turut mencadangkan agar nama mereka yang terlibat ini disenaraihitamkan di institusi perubatan antarabangsa supaya mereka tidak boleh lagi menjadi pengamal perubatan di negara lain.

"Tiada sesiapa yang mampu lari daripada COVID-19 ini sehingga semua orang selamat". Jika kita tidak mengambil tindakan tegas dan serius untuk menghentikan wabak ini, kita akan terus hidup dalam ketakutan kerana bila-bila masa, dan sesiapa sahaja berkemungkinan boleh dijangkiti. Tiada siapapun antara kita yang dapat mengetahui apa yang bakal jadi pada masa akan datang. Kaedah terbaik untuk mengekang penularan COVID-19 pada waktu ini adalah dengan mengambil suntikan vaksin.

Datuk Dr Pamela Yong
Timbalan Ketua Setiausaha Agung MCA