Menurut baginda, Lembah Chuping yang berkeluasan lebih 1,200 hektar itu bakal mengubah landskap ekonomi negara khususnya Perlis apabila ia dibangunkan secara menyeluruh kelak.

Tuanku Syed Faizuddin memaklumkan antara yang akan mewarnai pembangunan kawasan itu ialah cadangan membina pelabuhan darat atau Perlis Inland Port di kawasan seluas kira-kira 200 hektar.

Selain itu, tumpuan bagi mengisi pembangunan kawasan pinggir sempadan Malaysia-Thailand itu termasuk dalam sektor logistik, tenaga hijau, pemprosesan hijau dan pengurusan sisa, titah baginda.

Baginda bertitah dalam majlis sambutan ulang tahun pertama Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) serta sambutan Tahun Baharu Cina persatuan itu di Menara Kembar Petronas di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Laila­tul Shahreen Akashah Kha­lil serta dihadiri Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden PUCM, Datuk Keith Li.

Tuanku Syed Faizuddin yakin penubuhan PUCM sejak setahun lalu akan turut menyuburkan kerjasama ekonomi Malaysia dan China yang terjalin kukuh.

Menurut baginda, pada masa ini China merupakan rakan dagangan terbesar rantau Asia Tenggara di negara ini sejak lapan tahun lalu.

Baginda berharap agar PUCM dapat memastikan anggotanya menghargai persekitaran hidup di negara ini selain menyumbang dalam aktiviti kemasyarakatan.

Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar PUCM menjadi platform kepada anggotanya untuk berinteraksi dengan pihak kerajaan, pihak berkuasa dan rangkaian perniagaan tempatan.

“Syarikat-syarikat China mampu memperkukuh kedudukan sekiranya mereka memahami pasaran tempatan dan mengintegrasikan perniagaan mereka de­ngan pasaran utama di Malaysia,” titah baginda.

– Bernama