Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching diminta menjustifikasikan alasan kerajaan yang dilihat tidak lagi membuka pengambilan untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) (PISMP-UEC) kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Belia Negara MCA, Ng Sing Phing mendesak Nie Ching menyatakan pendiriannya sama ada dia sehaluan atau tidak bersetuju dengan pendekatan semasa yang diambil kerajaan dalam perkara itu.

“Program PISMP-UEC adalah satu-satunya jalan untuk pemegang sijil kelulusan UEC untuk menjadi penjawat awam menerusi jawatan guru.

“Dengan tindakan baharu kerajaan yang tidak lagi merekrut guru bahasa Cina tahun ini, pelajar UEC seolah telah disisihkan dalam perkara ini,” kata Sing Phing dalam kenyataan hari ini.

Malah Sing Phing juga menyoal apakah masyarakat Cina terus boleh ‘melabur’ harapan mereka terhadap UEC yang pernah diktiraf dalam aspek pengambilan guru bahasa Cina sebelum ini.

Katanya, inisiatf berkenaan apabila dilaksanakan bawah kerajaan Barisan Nasional semenjak tahun 2011 lagi dan dalam semakan semasa mendapati tidak dimasukkan butiran pengambilan melibatkan program ijazah tersebut.

Dalam erti kata lain, ia disifatkan sebagai langkah mundur dari pengiktirafan UEC dengan menghapuskan usaha BN untuk memperbaiki kebajikan mereka, katanya.

“MCA pada Jun 2010 mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan akan menerima pemegang sijil UEC dalam program latihan perguruan yang mana mereka yang telah menamatkan kursus akan disah dan diiktiraf sebagai guru bahasa Cina.

“Ini hanyalah salah satu prasyarat bagi BN untuk mengiktiraf UEC pada akhirnya.

“Namun sejak PH berkuasa, mereka nampaknya tidak menyokong Program sentrik UEC ini yang jelas jauh tersimpang dari janji pilihan raya mereka kepada rakyat dan khususnya komuniti Cina.

“Mereka melaungkan ‘pengiktirafan UEC apabila kami (PH) berkuasa’ namun tidak ada sebarang kemajuan besar dalam perkara itu sehingga kini, sebaliknya program yang dicantas itu menunjukkan kebajikan pelajar UEC sedia ada juga dalam kedudukan terancam dan bahaya.

“Apa gambaran yang cuba dicat untuk UEC yang pernah diiktiraf sebahagian.

“Pada perkembangan berkaitan kami juga mahu jawab apa jadi pada laporan lama kerajaan PH yang dinantikan lagi dari pasukan tugas UEC? Bila ia akan dilaksanakan?” soalnya.

-MalaysiaGazette