Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibimbangi akan terjejas jika kerajaan Selangor tidak memberi kerjasama baik dalam soal menyelesaikan proses pengambilan tanah di negeri itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia akan menyebabkan projek pembinaan laluan rel itu lewat siap berbanding jadual asal pada 2024.

“Kita minta kerjasama kerajaan Selangor agar percepatkan pengambilan tanah seperti negeri lain. Kelantan, Terengganu dan Pahang semuanya sudah selesai (pengambilan tanah).

“Saya bimbang kalau perkara ini dilambatkan, ia jejaskan masa pembinaan ECRL seperti yang kita janjikan. Projek ini dalam proses pembinaan, amatlah penting kerjasama dari Selangor,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pembinaan ECRL sepanjang 688km akan menghubungkan ne­geri-negeri Pantai Timur dengan fasa pertama melibatkan laluan landasan kereta api elektrik me­lalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan jajaran sepanjang 531.6km dan jajaran sisihan sepanjang 68.7km.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata kementerian telah meminta Malaysia Airports Holdings Berhad bekerjasama dengan kastam untuk memperketat pemeriksaan dan prosedur pelepasan penumpang bagi semua penerbangan termasuk penerbangan domestik dalam mencegah kemasukan barangan terlarang di negara ini.

Katanya, ini berikutan insiden penahanan 5 lelaki yang disyaki membawa dadah disyaki syabu di Lapangan Terbang Sandakan pada Februari lepas.

Sementara itu, Liow berkata rang undang-undang menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (NTSB), yang bakal bertindak sebagai badan penyiasatan bebas terhadap kemalangan melibatkan pelbagai mod pengangkutan, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

“Pada dasarnya, penubuhan NTSB ini sudah dipersetujui Kabinet tahun lalu dan sekarang ini kementerian sedang menjalankan sesi libat urus dan perundingan untuk menubuhkan NTSB ini dengan jabatan dan kementerian yang terlibat dengan aspek kemalangan pengangkutan.

“Proses libat urus dan perundangan ini amat penting bagi memastikan bidang kuasa NTSB merangkumi aspek siasatan kemalangan meliputi semua mod pengangkutan darat, rel, maritim dan udara,” katanya sambil menambah NTSB dijangka beroperasi tahun hadapan.

-Bernama-