Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng (20 Mac 2019)

Motif politik di sebalik perbezaan peruntukan untuk KXP dan LTAPP?

Mengapakah kerajaan pusat sanggup memperuntukkan RM1.6 bilion untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sementara dana untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pula dibuat melalui Insiatif Pembiayaan Khas (PFI)? 

Apakah bezanya KXP dengan LTAPP sehingga KXP layak menerima sumbangan terus daripada kerajaan pusat, tetapi LTAPP pula perlu memohon bantuan sektor swasta? Adakah adanya “udang di sebalik batu”, iaitu terdapat motif politik disebalik pemberian peruntukkan tersebut?

Tambahan pula, mengapakah sehingga hari ini kerajaan pusat masih belum memberi peruntukan RM1 bilion untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP), tetapi tidak teragak-agak meluluskan RM3.6 bilion untuk tujuh projek di Kedah? Sikap berat sebelah kerajaan pusat ini bakal meregangkan hubungan antara kedua-dua negeri tersebut.

Pada 3 Mac 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengatakan bahawa projek pembesaran LTAPP akan dilakukan melalui PFI, dan pendekatan yang sama akan digunakan dalam pembinaan KXP. Akan tetapi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali pula mengumumkan semalam bahawa kerajaan pusat akan membiayai pembinaan KXP. Soalannya, adakah tindakan Azmin ini satu taktik politik untuk mengenepikan Guan Eng?

Ini kerana Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhkriz Mahathir juga merupakan anak kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Oleh itu, perbezaan cara pembiayaan di antara kedua-dua negeri tersebut telah membangkitkan banyak persoalan di kalangan rakyat.

Selain itu, jarak antara LTAPP dengan KXP hanya sejauh 46km sahaja. Apakah jaminan kerajaan pusat PH bahawa kedua-dua lapangan terbang tersebut tidak akan bersaing dengan satu sama lain sehingga salah satu daripadanya terpaksa ditutup?

Jika kedua-dua KXP dan LTAPP memberi perkhidmatan pengangkutan yang sama, maka LTAPP bakal kehilangan penumpang dari Kedah, Seberang Prai dan Butterworth dan ini secara langsung akan menjejaskan industri pengangkutan udara Pulau Pinang, dan akhirnya menjadikan LTAPP sebagai projek “gajah putih”. 

Oleh itu, kerajaan pusat digesa menjalankan kajian menyeluruh dan perancangan teliti apabila mahu melaksanakan mana-mana dasar yang mampu menjejaskan rakyat. Janganlah kerana agenda politik peribadi, wang rakyat dibazirkan dan daya saing tempatan dikorbankan. 

-MCA online-