20 Ogos 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng

Apa guna 6 menteri, 42 ahli Parlimen DAP jika tidak mampu menyuarakan kehendak rakyat?

Pengakuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa DAP gagal menyakinkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas  adalah bukti DAP bukan “kingmaker” dalam Pakatan Harapan bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan.

Hakikatnya, parti-parti komponen Pakatan Harapan telah gagal menyemak dan mengimbang Perdana Menteri yang semakin bersikap diktator dalam membuat keputusan pentadbiran.

Jika DAP, iaitu parti terbesar dalam Pakatan Harapan yang mempunyai 6 menteri dan 42 ahli Parlimen masih tidak boleh menyakinkan Perdana Menteri untuk menutup Lynas sepertimana yang telah dijanjikan, maka apa gunanya DAP?

Lebih mengecewakan, ada juga menteri yang memberi alasan lemah, seperti Menteri Perindustrian Utama Teresa Kok yang mendakwa dirinya di luar negara pada masa itu, maka beliau tidak dapat membantah keputusan mengekalkan Lynas. 

Guan Eng pula cuba menyelamatkan diri apabila mendakwa dengan bangganya bahawa pelanjutan lesen operasi Lynas membuktikan DAP bukannya “kingmaker” dalam Pakatan Harapan. Adakah ini sesuatu yang patut dibanggakan? Ia hanya menyerlahkan lagi kelemahan DAP yang sebelum ini mendakwa dirinya juara rakyat dan pernah berjanji untuk menyemak dan mengimbang keputusan Perdana Menteri.

Guan Eng diingatkan bagaimana beliau menghasut rakyat untuk membantah Lynas sebelum ini. Namun, selepas menjadi kerajaan, beliau bukan sahaja gagal menunaikan janjinya, tetapi mengalih tanggungjawab kepada Perdana Menteri. Nampaknya DAP tidak ada suara dalam kerajaan baru ini.

-MCA online-