20 Disember 2016

Kenyataan Media Ketua Biro Keharmonian Agama MCA, Dato’ Sri Ti Lian Ker

Jangan salahkan UEC sebagai halangan kepada perpaduan

Saya ingin membalas kenyataan Timbalan Presiden Pertumbuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Sirajuddin Salleh mengenai gesaan MCA kepada Perdana Menteri untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sepertimana yang dilapor dalam media talian Berita Daily yang bertajuk “Perkasa desak kerajaan tidak iktiraf UEC, cadang wujudkan Sekolah 1Malaysia”.

Isu perpaduan melibatkan pelbagai faktor dan bukannya disebabkan kelpelbagaian aliran pendidikan. Adalah salah dan simplistik sekiranya kita menjadikan aliran sekolah sebagai sasaran kerenggangan perpaduan bangsa.

Malahan banyak negara majmuk dan kepelbagaian mempunyai perpaduan yang jitu dan sihat di mana toleransi menjadi teras perpaduan. Ini telah membolehkan pemuafakatan diamalkan dan perselisihan, salah faham dan ketegangan dapat dikurangkan.

Negara kita sudah mencapai tahap kematangan yang mantap pada hari ini. Sudah sampai masanya kita mempunyai keyakinan dan jatidiri dan memberi ruang dan pilihan kepada unsur-unsur lain yang boleh memperkasakan bangsa dan negara dalam menghadapi cabaran global.

Hari ini dengan kemunculan negara China sebagai satu kuasa besar ekonomi dunia, ia amat penting untuk negara kita meneruskan kelpelbagaian yang sihat. Dengan mengambilkira faktor ini, pengiktirafan UEC dapat menunjukkan kepada dunia bahawasanya kita berdaya saing dan berkeupayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan kontemporari global.

Kita tidak boleh meminggirkan Bahasa Cina dan Inggeris yang merupakan dua bahasa global. Rakyat seharusnya diberi pilihan pendidikan yang bersesuaian dengan nekad, bakat dan naluri mereka.

Tiada bukti yang kukuh bahawa kepelbagaian membawa kepada kerosakkan perpaduan. Disebaliknya kurang toleransi, tiada saling menghormati dan keseragaman paksaan yang menjadi faktor utama ketegangan.

Dato’ Sri Ti Lian Ker
Ketua Biro Keharmonian Agama MCA

-MCA online-