Nilai eksport produk makanan diproses mening­kat kepada RM19.9 bilion tahun lalu berbanding RM18.1 bilion pada 2015.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, antara produk makanan diproses yang mendapat permintaan tinggi di luar negara termasuk kopi, sos, koko, biskut dan marjerin.

Menurutnya, kopi putih merupakan antara produk yang memberi impak positif apabila mencatat nilai eksport sebanyak RM1.2 bilion tahun lalu.

"Kerajaan akan terus membantu syarikat-syarikat makanan diproses di negara ini meningkatkan eksport mereka bagi mengu­kuhkan kewangan dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat ke kilang memproses kopi putih dan biskut, Chek Hup Holdings di sini hari ini.

Menurut Tee Yong, kerajaan menyediakan pelbagai pembiayaan kewangan menerusi pelbagai agensi di kementerian itu untuk usahawan mengembangkan pa­saran dan perniagaan mereka.

Beliau berkata, sejak tahun 1960, kementerian melalui Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) telah me­nyalurkan pembiayaan kewangan kepada 10,000 syarikat di seluruh negara yang bernilai RM13 bilion.

“Begitupun masih terdapat syarikat perniagaan yang tidak mengetahui peluang yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah MITI se­perti untuk eksport boleh merujuk kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan untuk pembiayaan kewangan melalui MIDF,” katanya.

Menurutnya, tahun ini MIDF menyediakan pinjaman untuk syarikat perniagaan sebanyak RM625 juta.

"Pembiayaan ini untuk memberi peluang kepada syarikat meningkatkan automasi di kilang mereka supaya tenaga kerja asing dikurangkan selain dapat meningkatkan produktiviti," katanya.

-Utusan Online-