Nilai eksport produk makanan diproses negara meningkat kepada hampir RM20 bilion tahun lalu berbanding RM18.01 bilion yang dicatatkan pada 2015.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata, antara produk makanan diproses ialah kopi, sos, koko, biskut dan marjerin.

“White coffee antara produk yang memberi impak positif apabila mendapat sambutan baik dari negara luar dengan nilai eksportnya mencecah RM1.2 bilion pada tahun lalu,” katanya selepas melawat Chek Hup Holdings Sdn Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata, nilai eksport yang meningkat itu akan membantu menjana pendapatan syarikat pengeluar produk makanan tempatan, sekali gus mengukuhkan kewangan dan kestabilan ekonomi negara.

Menurutnya, bagi meningkatkan eksport produk makanan diproses, bekalan yang konsisten penting untuk mengekalkan reputasi dalam sektor yang cukup kompetitif.

Selain itu, katanya, syarikat perlu sentiasa menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

Chua berkata, pihaknya sering melawat syarikat pengeluar makanan untuk memberikan bimbingan, sokongan dan mempromosikan pinjaman bagi membantu mereka meningkatkan pengeluaran dan mengeksportnya ke luar negara.

-Harian Metro-