Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini berusaha untuk mengembangkan sektor perkhidmatan yang menjadi semakin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Menteri, Datuk Chua Tee Yong berkata, kementerian itu tidak hanya memberi tumpuan kepada sektor pembuatan memandangkan bagi sesebuah negara maju, sektor perkhidmatan dilihat mampu menarik lebih banyak pelaburan.

MITI serta agensi di bawahnya sentiasa membantu pihak terlibat dalam sektor perkhidmatan untuk mendapatkan pinjaman dari Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) atau insentif cukai pelaburan, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Antarabangsa Tenby di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai contoh pelaburan Sekolah Antarabangsa Tenby telah mencecah RM250 juta, dan ia menunjukkan perkhidmatan adalah antara satu sektor yang boleh menarik pelaburan.

Chua berkata antara bantuan yang diberikan pihaknya untuk pembangunan Sekolah Tenby ialah Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan (SLSCD) dari MIDF.

"Selain bantuan dari segi kewangan, kita juga membantu mereka dari segi pengecualian cukai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Tenby, Mark Parkinson berkata bidang pendidikan sentiasa memberi manfaat besar kepada sesebuah negara dan ia bukan pelaburan semata-mata.

"Apabila menyentuh negara yang melabur untuk masa hadapan, ada beberapa kemungkinan (yang dipertimbangkan), sama ada anda boleh melabur dalam perkara yang lebih bernilai.

"Justeru itu, modal insan dan pendidikan, bukan sekadar sebagai industri perkhidmatan, tetapi ia turut menjadi pelaburan untuk masa hadapan yang tidak langsung membantu negara memperoleh manfaat lebih besar," katanya.

Sekolah Tenby di Malaysia, diasaskan pada 1960, dimiliki oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), kini mempunyai lebih 5,000 pelajar di enam sekolahnya iaitu di Ipoh (Perak), Tanjung Bungah (Pulau Pinang), Seksyen U13 Shah Alam dan Semenyih (Selangor), Miri (Sarawak) dan Johor Bahru (Johor).

-- Bernama