21 Mei 2019

Kenyataan Media Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pahang merangkap Pengerusi MCA Bahagian Indera Mahkota , Sdr Quek Tai Seong

MCKIP - Perakuan Nga Kor Ming bukti BN tidak “jual negara”

Kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berhubung projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) merupakan satu pengakuan terhadap pencapaian kerajaan BN, dan secara langsung juga mendedahkan fitnah-fitnah dan penghasutan yang digunakan Pakatan Harapan (PH) dalam kempen mereka semasa PRU14 dahulu.

Sebelum ini, projek MCKIP didakwa PH sebagai “menjual negara kepada China” dan juga didakwa tidak menguntungkan penduduk tempatan kerana hanya pekerja-pekerja dari China diambil bekerja di kilang-kilang berkenaan. Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegaskan bahawa “Tembok Besar China Kuantan” harus diroboh.

Namun, setahun kemudian pertukaran pendirian kerajaan baharu boleh dilihat apabila Nga Kor Ming memuji potensi MCKIP sebagai perangsang ekonomi bagi negara yang telah membawa masuk pelaburan berjumlah RM12 bilion dan bakal mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam beberapa tahun lagi.

Kesemua fakta ini pernah ditekankan oleh pemimpin-pemimpin BN dahulu, dan kami berterima kasih kepada beliau kerana memperakui keputusan dan pencapaian kerajaan BN.

Justeru itu, kami mahu pemimpin-pemimpin PH memohon maaf atas fitnah dan penipuan yang ditabur semasa kempen PRU14 dalam usaha mereka untuk menjatuhkan imej BN dan menghasut kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Sebenarnya, projek MCKIP ini memang bermanfaat kepada negara, dan juga merupakan sebahagian Inisiatif Belt and Road” (BRI) oleh China untuk menjadikan Malaysia amnya, dan Pelabuhan Kuantan khususnya, sebuah hab logistik maritim di rantau Asia Tenggara, sekaligus meningkatkan pendapatan negara dan merangsangkan industri eksport negara.   

Walaupun pusingan U kerajaan PH kali ini dialu-alukan kerana dibuat atas logik dan fakta, dan bukannya mengikut perasaan semata-mata, namun keyakinan pelabur telah terjejas, terutamanya dari China, ekoran kegagalan kerajaan PH menangani cabaran ekonomi yang telah menyebabkan terhakisnya keyakinan mereka terhadap kerajaan. Oleh itu, ia diharapkan bahawa PH akan mempelajari dari kesilapan mereka, dan tidak membuat janji-janji dengan sewenang-wenangnya tanpa mengendahkan padahnya.

-MCA online-