Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak, muncul sekolah menengah terbaik, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek, Terengganu bagi kategori sekolah rendah, pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah 2017 Peringkat Kebangsaan.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua sekolah berkenaan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan cenderamata.

Bagi kategori negeri pula, Melaka dipilih memenangi Negeri Terbaik Pembestarian Sekolah 2017, manakala Putrajaya dan Terengganu masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Majlis penyampaian hadiah dilakukan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dalam majlis Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah BTP, Zaidi Yazid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Jamil Rakon.

Terdahulu, Sin Woon dalam ucapannya berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 terutamanya dalam anjakan tujuh memfokuskan kepada tindakan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. 

Beliau berkata, PPPM menggariskan bahawa ICT berpotensi besar, memacu dan memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk mengoptimumkan potensi murid menguasai kemahiran abad ke-21.

"Usaha ini bagi mencapai matlamat Pembestarian Sekolah pada 2020 dalam memastikan 100 peratus sekolah mencapai tahap bestari, berdasarkan ciri-ciri yang ditetapkan, sekali gus persediaan untuk mengorak langkah memacu pembangunan modal insan melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya.

Program anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bertujuan menggalakkan kemahiran pelajar dalam penghasilan produk digital.

-Berita Harian-