22 Januari 2021

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

Pembatalan cuti Thaipusam oleh MB Kedah tidak logik, tidak hormati penganut Hindu 

Tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan pembatalan cuti umum perayaan Thaipusam di negeri itu dengan alasan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), adalah tidak logik serta tidak menghormati tradisi dan perasaan rakyat khususnya penganut agama Hindu.

Ketika keadaan pandemik Covid-19 masih kritikal dan PKP dilaksanakan dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP), pembatalan penganjuran acara perayaan Thaipusam oleh kerajaan memang boleh difahami. Sebenarnya, perayaan mana-mana kaum dan agama sekalipun, perlu dirai tetapi secara norma baharu seperti tidak disambut secara besar-besaran atau dalam kelompok ramai.

Tetapi kenapa pula membatalkan cuti umum Thaipusam? Pembatalan perayaan dan pembatalan cuti umum adalah dua perkara yang jauh beza dari segi maknanya. Adakah ini bermaksud penganut-penganut Hindu tidak boleh meraikan hari kebesaran berkenaan di rumah walaupun mereka mematuhi SOP? Penjelasan Menteri Besar bahawa tiada cuti kerana tiada perayaan langsung tidak logik dan amat mengelirukan.

Penetapan Thaipusam sebagai cuti umum adalah sebagai tanda hormat kepada penganut Hindu serta menyerlahkan semangat kepelbagaian dan inklusif rakyat Malaysia. Tindakan Sanusi ini tidak syak lagi telah merosakkan semangat saling menghormati serta inklusif yang telah terjalin selama ini.

-MCA online-