22 Januari 2021

Kenyataan Media Jurucakap MCA, Sdr Mike Chong

Batal cuti Thaipusam : Tindakan Menteri Besar Kedah tidak logik, langgar hak minoriti

Pengumuman Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan cuti peristiwa Thaipusam di negeri itu dengan menggunakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0) sebagai alasan adalah tidak logik dan dilihat seakan tidak menghormati kaum minoriti.

Oleh itu, MCA tidak dapat menerima alasan Menteri Besar berhubung perkara ini. Sekiranya kita mengikut logik YAB Muhammad Sanusi, maka adakah cuti seperti sempena Hari Merdeka juga wajar dibatalkan? Cara pemikiran sebegini amat membingungkan dan mengecewakan rakyat Malaysia.

Selain itu, pengumuman YAB Sanusi juga telah melukakan hati penganut Hindu kerana ia dilihat seakan tidak menghormati perayaan tradisi dan budaya mereka.

Ia sudah menjadi satu kebiasaan bagi kerajaan untuk menyenaraikan beberapa perayaan kaum dan agama sebagai cuti umum. Ini adalah satu penghormatan kerajaan kepada semua kaum dan agama di Malaysia. Malah, ini juga mempamerkan semangat kepelbagaian, kesederhanaan dan toleransi di negara kita. Ia sudah menjadi amalan sejak beberapa dekad lalu dan ia juga merupakan satu keunikan berharga negara kita. Oleh itu, pengumuman mengejutkan Menteri Besar Kedah ini dikhuatiri akan menjejaskan semangat dan prinsip yang telah kian lama dipraktikkan di Malaysia.

Walaupun Menteri Besar Kedah memberi alasan bahawa selama ini Thaipusam hanya merupakan cuti peristiwa di negeri itu dan bukannya cuti umum, namun alasan ini tidak begitu meyakinkan. Ini kerana perayaan Thaipusam telah disenaraikan sebagai cuti peristiwa di negeri itu selama 6 tahun berturut-turut sejak 2014. Jadi, mengapa pula amalan ini mahu dibatalkan?

Sikap tidak peduli YAB Sanusi ini telah menjejaskan imej negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang sederhana.

Tambahan lagi, kritikan YAB Sanusi yang mendakwa isu ini telah dipolitikkan oleh MIC juga amat mengecewakan. Dengan ini, MCA sebagai sebuah parti politik yang mewakili kaum Cina di Malaysia juga mengambil pendirian yang sama dengan MIC kerana kami berpendapat bahawa isu ini membabitkan hak dan kepentingan semua kaum minoriti di Malaysia. 

Sekiranya alasan Menteri Besar Kedah ini dibenarkan untuk membatalkan cuti umum Thaipusam, MCA bimbang alasan yang sama akan digunakan untuk membatalkan perayaan-perayaan kaum minoriti yang lain. Maka, MCA tidak akan mendiamkan diri dalam isu ini.  

Justeru itu, jangan pula menuduh MCA dan MIC mempolitikkan isu ini. Rasional kami mudah sahaja iaitu, menghalang perayaan dan membatalkan cuti peristiwa adalah dua isu yang berlainan. Oleh itu, Menteri Besar Kedah disaran supaya tidak mengelirukan kedua-dua isu ini.

-MCA online-