Malaysia bersedia untuk memanfaatkan kemajuan teknologi kenderaan tanpa pemandu atau autonomi (AV), dan berada pada landasan melengkapkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi itu menjelang 2025.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, teknologi terbabit turut berperanan menjadi pemacu kepada permintaan segmen komponen elektrik dan elektronik (E&E) sekali gus meningkatkan pertumbuhan eksport sektor itu.

Beliau berkata, kerajaan yakin penggunaan teknologi AV mampu menarik lebih banyak peluang pelaburan yang tinggi dalam pasaran, selain teknologi telefon pintar ketika ini.

"Menerusi teknologi berkenaan, sektor automotif negara akan kekal berdaya maju yang mana ia akan mewujudkan permintaan bagi segmen kenderaan ini dan komponen E&E.

"Malah, trend terkini turut menyaksikan produk yang memiliki elemen Internet Segala-galanya (IoT) mempunyai permintaan begitu juga dengan penggunaan kenderaan autonomi yang dijangka dilaksana pada 2025.

"Dalam hal ini, Malaysia masih tidak jauh ketinggalan dalam teknologi AV kerana terdapat syarikat dan universiti tempatan sudah mula menjalankan projek pembangunan berkaitan bidang ini serta teknologi berkaitan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Memacu Teknologi Autonomi di sini, hari ini.

Sektor E&E negara menyumbang pertumbuhan yang penting kepada ekonomi Malaysia yang mana pada tahun lalu, segmen itu mencatatkan nilai eksport tertinggi iaitu RM343 bilion atau 36.7 peratus dari jumlah keseluruhan eksport.

Selain itu, sektor automotif turut tidak ketinggalan apabila mencatatkan empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 dan setakat ini terdapat 690 syarikat yang menghasilkan pelbagai komponen automotif.

Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, kerajaan melalui Bajet 2018 menyediakan geran khusus untuk merancakkan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) di bawah Dana Pelaburan Strategik Domestik bagi meningkatkan perkhidmatan Pengeluaran Pintar.

Menurutnya, sebagai contoh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan R&D bagi mewujudkan kenderaan automatik sepenuhnya sejak tahun lalu dengan kerjasama bersama Moovita Pte Ltd dengan prototaip pertama kenderaan autonomi tujuh tempat duduk.

"Antara usaha sama lain, termasuklah inisiatif oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di bawah projek Wilayah Perak Selatan dalam meletakkan Tanjung Malim sebagai peneraju teknologi Kenderaan Autonomi Ketersambungan (CAV) di Asia Tenggara," katanya.

-Berita Harian-