Kerajaan hari ini meminta 3 syarikat penerbangan mengurangkan tambang dan meningkatkan kekerapan penerbangan susulan kelonggaran penjarakan sosial untuk perjalanan udara di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata kementeriannya sudah menemui Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air untuk membincangkan isu itu pada 11 Jun lalu.

“Syarikat penerbangan memaklumkan harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik yang antara lain mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini termasuk permintaan penumpang, keadaan ekonomi, harga bahan api dan kos operasi.

Wee turut menggesa orang ramai membuat perancangan lebih awal kerana tiket yang dibeli terlalu hampir dengan tarikh penerbangan lebih mahal.

“Syarikat penerbangan juga perlu memastikan terdapat permintaan berterusan dan stabil, sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal seperti sebelum wabak Covid-19.

“Kerajaan juga mengingatkan syarikat penerbangan sentiasa menetapkan kadar tambang penerbangan munasabah serta tidak membebankan rakyat, terutama semasa tempoh pemulihan akibat pandemik Covid-19.”

Katanya, peraturan penjarakan sosial di balai dan pintu pelepasan akan diteruskan sepanjang PKPP.

“Petugas yang menyambut atau menerima penumpang dibenarkan memasuki bangunan terminal. Ia bertujuan membantu penumpang, terutama warga emas dan orang kelainan upaya yang memerlukan bantuan.”

Bagaimanapun, katanya, orang ramai masih perlu mematuhi semua garis panduan berhubung pemeriksaan kesihatan, suhu badan dan menggunakan topeng serta cecair pembasmi kuman ketika berada di terminal lapangan terbang.

-Free Malaysia Today-