Pemuda MCA membidas Perkasa yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), baru-baru ini.

Ketua Biro Pendidikan parti itu, Lim Xing Hao berkata, kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bahawa pihaknya menentang sekeras-kerasnya termasuk akan mengisytiharkan 'perang' jika kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) amatlah dikesali.

"Kenyataan Ibrahim itu adalah bersifat perkauman dan boleh menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini," kata Xing Hao dalam satu kenyataan disiarkan China Press.

Menurut Xing Hao, dengan mengiktiraf UEC bukan bermakna kedudukan bahasa Malaysia dan Bumiputera akan tergugat.  

Beliau meminta Perkasa jangan politikkan isu UEC, sebaliknya perlu mengkajinya dari sudut akademik.

"Sijil UEC telah diiktiraf pelbagai universiti terkemuka di seluruh dunia, termasuk Universiti Harvard dan Universiti Oxford.

"Ini membuktikan sijil ini mempunyai nilai dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa," katanya.

Kelmarin, Ibrahim dipetik sebagai berkata, kerajaan perlu menolak pengiktirafan UEC kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, dan dikendalikan Dong Zong sejak 1975.

Bagaimanapun, ia tidak diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi untuk kemasukan ke universiti awam.

-Sinar Harian-