Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak 20 lagi kesalahan termasuk penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan memotong garisan berkembar akan ditambah ke dalam Sistem Kese­lamatan Kesedaran Automatik (AWAS) pada tahun depan.

Penambahan tersebut kata beliau, adalah satu pertambahan kepada hanya dua kesalahan ketika ini iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.

“Saya bimbang dengan kes pe­man­du menggunakan tele­fon bim­­bit yang menyebabkan kemala­ngan. Jumlah kemalangan sudah mening­kat dan kita ada da­ta untuk membuktikannya,” kata­nya pada sidang akhbar selepas me­­rasmikan Anjung Malaysia di La­pa­­ngan Terbang Antarabangsa Kua­la Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

AWAS adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara). Melalui AWAS, pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas akan diberi mata demerit mengikut kesalahan yang disenaraikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu merah, dikuatkuasakan pada 15 April lalu.

Antara kesalahan lain yang akan dikenakan mata demerit ialah membawa lebih muatan daripada had ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, ia termasuk ke­salahan mengingkari arahan penguat kuasa seperti polis, pegawai JPJ dan warden lalu lintas; tidak memakai tali pinggang keledar; memandu dalam keadaan mabuk serta tidak memakai topi keledar.