23 Februari 2020

Kenyataan media Ketua Pemuda MCA Nicole Wong (20 Februari 2020)

Berbohong mengatakan Malaysia terpantas lancar pakej perangsang ekonomi ; Lim Guan Eng patut berasa malu

Baru kelmarin Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyangkal kritikan kerajaan Malaysia terlalu lambat mengumumkan pakej perangsang ekonomi, sambil berbohong mengatakan Malaysia adalah negara terpantas melakukannya,  Singapura pada keesokan harinya (iaitu semalam) telah mengumumkan dua pakej khas bagi  menghadapi impak negatif dibawakan wabak COVID-19 kepada ekonominya. Guan Eng patut berasa malu.

Dua pakej tersebut terdiri dari Pakej Penstabilan dan Sokongan (Stabilisation and Support Package) bernilai S$4 bilion serta Pakej Perihatin dan Sokongan (Care and Support Package) bernilai S$1.6 bilion. Pakej pertama bertujuan menstabilkan ekonominya melalui bantuan kepada pekerja mengekalkan penggajiannya serta bagi firma-firma mengekalkan kecairan mereka, manakala pakej kedua pula membantu meringankan kos sara hidup isi rumah tempatan, terutamanya yang berpendapatan rendah.

Bilakah agaknya kerajaan Malaysia akan terjaga dari tidur lenanya? Wakil-wakil persatuan pelbagai industri telah tampil membuat kenyataan serta meminta pertolongan kerajaan, tetapi kerajaan masih berlengah-lengah dan hanya akan mengumumkan pakejnya pada 27 Februari, apa masalahnya?

Kenyataan Guan Eng bahawa “setiap peniaga pasti menghadapi risiko naik-turun serta untung-ruginya, oleh itu kerajaan tidak mungkin menanggung segala kerugian peniaga” amat tidak bertanggungjawab.

Kerajaan berkewajipan untuk memastikan suasana negara sesuai untuk survival para peniaga, bukannya membiarkan mereka tanpa peduli ketika krisis melanda, apatah lagi mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab seperti “kerajaan tidak mungkin menanggung segala kerugian peniaga”.

Setakat ini, hanya prestasi Kementerian Kesihatan dalam menghadapi wabak yang dikira memuaskan. Ia telah dapat mengawal penularan wabak berkenaan dalam negara, dan statistik harian menunjukkan kawalan dilakukan dengan berkesan.

Tetapi dari segi pakej perangsang ekonomi, kerajaan dilihat amat lembap, daripada enggan mendengar, enggan mengakui masalah serta mengelak dari tanggungjawab, sehingga akhirnya terpaksa menjanjikan pakej perangsang. Semua ini menunjukkan Kementerian Kewangan yang lemah dan tidak kompeten.

Sebaliknya di Singapura, kerajaannya berterus-terang tentang impak wabak COVID-19 yang berterusan mengganas terhadap republik itu. Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga mengakui kesan terhadap ekonomi kali ini lebih teruk daripada wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 2003 dan tidak menolak kemungkinan ekonomi Singapura menghadapi resesi.

Sedangkan Singapura pun bimbang tidak dapat mengelak daripada menghadapi resesi, tetapi Guan Eng pula berkata, walaupun COVID-19 pastinya memberi impak kepada segenap industri, namun negara tidak menghadapi risiko kemelesetan ekonomi. Siapakah yang patut rakyat percayai?

-MCA online-