Kerjasama GoCare dan KOJADI menawarkan perundingan pinjaman dalam talian kepada perniagaan mikro serta PKS

Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI) dan GoCare Biz Hub telah bekerjasama untuk menawarkan sesi perundingan berkumpulan pinjaman mikro dalam talian untuk membantu perniagaan dan para usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Program ini adalah sebahagian kempen masyarakat penyayang GoCare#BeMYHero!

Susulan krisis kesihatan yang telah wujud disebabkan penularan wabak COVID-19 di negara kita, kebanyakan sektor perniagaan terjejas dan menghadapi keadaan yang tidak menentu. Ada di kalangan mereka yang tidak boleh atau tidak mahu beroperasi disebabkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ataupun disebabkan kebimbangan terhadap ancaman COVID-19. Atas sebab ini, kebanyakan mereka telah mengalami kerugian pendapatan, tetapi pada masa sama, mereka juga masih perlu membayar gaji pekerja, sewa premis, bil elektrik dan air serta sebagainya. Ini pastinya membebankan mereka ketika waktu sukar.

Justeru itu, Penasihat GoCare merangkap Ketua Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) Kebangsaan, Datuk Lim Chong Ly berhasrat membawa rakan-rakan kongsi dan pemain industri dari pelbagai bidang untuk bekerjasama membantu perniagaan-perniagaan yang terjejas menerusi bantuan seperti transformasi korporat, pinjaman mikro, penjualan produk, pengambilan pekerja dan lain-lain lagi. 

KOJADI, sebagai salah satu rakan kongsi kempen Masyarakat Penyayang GoCare, telah pun memulakan langkah untuk membantu pemain sektor perniagaan termasuk mengadakan satu siri perundingan pinjaman dalam talian dan taklimat oleh pegawai-pegawainya mengenai jenis pinjaman, syarat-syarat yang dikenakan dan sebagainya. Pada masa sama, satu sesi soaljawab juga akan diadakan bagi membolehkan para peserta memahami dengan jelas secara terperinci mengenai pinjaman yang ditawarkan. Selain itu, KOJADI juga menawarkan pinjaman pendidikan, dan mereka yang berminat boleh membuat pertanyaan melalui e-mel atau panggilan telefon.  

KOJADI ditubuhkan pada tahun 1981 dan menyediakan pinjaman mikro kredit dan pinjaman hartanah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka, mendapatkan perolehan modal, dan lain-lain lagi. Tambahan pula, pinjaman pendidikan juga disediakan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran mereka. Setakat ini, KOJADI menawarkan 13 program pinjaman pendidikan. Selain itu, aktiviti-aktiviti pembangunan pendidikan dan kaunseling juga dijalankan KOJADI bagi memupuk lebih ramai bakat muda yang memanfaatkan negara.

Selain KOJADI, salah satu lagi rakan kongsi kempen GoCare adalah Persatuan Fotografi Selangor Dan Kuala Lumpur. Menurut Datuk Lim, mereka telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan sesi taklimat bagi ahli-ahli, dan satu lagi sesi bagi pemborong. GoCare berharap bahawa sesi-sesi taklimat tersebut akan menyediakan satu lagi saluran pinjaman kepada perniagaan dan usahawan untuk membolehkan mereka menangani cabaran ketika ini disamping meneruskan pengoperasian mereka.

Dewan perniagaan atau persatuan perniagaan yang berminat mengadakan sesi perundingan pinjaman dalam talian ini boleh menghantar e-mel ke gocare.bemyhero@gmail.com atau menghubungi talian 016-2084676.

Maklumat lanjut:  

https://gocare.org.my/product/gocarebemyhero-companydoctor/

-MCA online-