Langkah untuk memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris di negara ini memerlukan penyelidikan dan perbincangan yang menyeluruh sebelum dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata ia menjadi topik utama yang akan dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira pertimbangan dan pandangan Penasihat Undang-undang kementerian dan pihak-pihak berkaitan.

"Sekolah aliran Inggeris telah ditukarkan kepada sekolah-sekolah aliran Melayu iaitu selepas kita mempunyai Akta Pendidikan. Di bawah akta tersebut, kita hanya mempunyai sekolah aliran Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah.

"Mungkin sesetengah pihak meminta supaya sekolah aliran Inggeris diwujudkan kembali, pada akhirnya, mungkin pihak lain tidak bersetuju, jadi kita perlu bersikap terbuka dan berbincang," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada Pesta Buah-buahan Tempatan di bangunan Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Chong berkata kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan mempunyai rancangan pembangunan yang jelas untuk memperbaiki dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Melalui Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP), kita menuju ke arah landasan yang betul. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengarahkan supaya kita memberi tumpuan kepada bagaimana untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Kita juga telah melatih semula 40,000 guru bahasa Inggeris dan mengadakan latihan yang lebih baik untuk guru. Jadi segala-galanya telah digerakkan untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris," kata beliau.

Tinjauan oleh Institut Yusof Ishak (Iseas) Singapura yang dikeluarkan oleh pada 13 Nov mendapati bahawa lapan daripada setiap 10 rakyat Johor mahu sekolah-sekolah aliran Inggeris diwujudkan kembali di negeri ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar seperti dilaporkan dalam media juga meminta kerajaan supaya mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris seperti di Singapura, melalui dasar tersebut, republik itu telah berkembang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga berkata bahawa sekolah aliran Inggeris harus diwujudkan semula di negara ini untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar supaya mereka boleh bersaing di dunia yang menghadapi penuh cabaran pada masa depan.

-- Bernama