24 Februari 2020 

Kenyataan Media Jurucakap MCA, Sdr. Mike Chong  

Ekonomi negara kukuh? Mengapa pula KWSP umum dividen yang terendah dalam 11 tahun?

Ekonomi negara jelas dilihat semakin teruk di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, dan ini semakin terserlah apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.45%, iaitu yang paling rendah dalam 11 tahun.

Malangnya, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula masih percaya keadaan ekonomi negara masih baik. Malah, pada Februari tahun lepas beliau dengan yakinnya menyatakan bahawa ekonomi negara bagi tahun 2019 dijangka akan terus kukuh kerana dipacu peningkatan eksport dan pertumbuhan ekonomi pada suku keempat (Q4) 2018. Namun, kejatuhan kadar dividen oleh KWSP dari 6.15% pada tahun 2018 kepada 5.45% untuk tahun 2019 membuktikan sebaliknya.

Adakah Guan Eng buta? Harga barang tidak turun walaupun GST telah dimansuhkan dan digantikan pula dengan SST, nilai Ringgit pula semakin teruk, dan ramai pelabur asing telah menarik diri daripada Malaysia. Lebih-lebih lagi, kegagalan kerajaan membentangkan pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi penularan wabak Covid-19 turut menyumbang kepada ekonomi negara yang lemah. 

Sekarang, simpanan KWSP yang menjadi saraan rakyat Malaysia selepas mereka bersara turut teraniaya akibat daripada pengurusan ekonomi kerajaan PH yang lemah. Adakah ini cara kerajaan Pakatan Harapan menjaga kepentingan rakyat? 

Lebih menyusahkan, beberapa kerajaan negeri Pakatan Harapan pula dilaporkan telah menaikkan kadar cukai tanah dan cukai pintu di samping memperkenalkan beberapa cukai baharu. Pada masa yang sama gaji dan elaun untuk ADUN dan ahli majlis kerajaan tempatan juga dinaikkan, sementara rakyat pula diminta “ikat perut” kerana program-program kebajikan yang diperkenalkan oleh BN dahulu telah dimansuhkan kerana dilabelkan sebagai satu “pembaziran”.

Jika ekonomi negara semakin kukuh, maka Guan Eng sepatutnya meminta KWSP mengumumkan kadar dividen 8% demi menjaga kepentingan Malaysia apabila sudah bersara.

-MCA online-