24 Disember 2016

Kenyataan Media Dato' Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia

Tragedi bas ekspres: Kementerian Pengangkutan pandang serius 

Kementerian Pengangkutan memandang serius tragedi kemalangan bas ekspres yang telah mengorbankan 14 nyawa awal pagi ini. Para pegawai dari MIROS, JPJ dan JKJR telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dari sudut keselamatan jalan raya bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian. Hasil daripada siasatan yang mendalam ini akan digunapakai oleh pihak kementerian untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan dari semua sudut bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Pihak MIROS dengan diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Professor Dr. Wong Shaw Voon juga dilaporkan sedang bekerjasama dengan pihak SPAD untuk mengumpul data di kawasan kemalangan. MIROS dan SPAD juga akan bekerjasama untuk mengaudit syarikat pengendali yang berkenaan. Maklumat awal daripada pihak polis juga akan dianalisis bagi mengenalpasti punca kejadian. Hasil siasatan dijangka akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

Pada masa yang sama, masyarakat diharap tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi sebelum hasil siasatan penuh diperolehi. Hormati perasaan keluarga mangsa yang terlibat yang pasti sedang bersedih. Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Para pengguna jalan raya yang lain juga diseru supaya mengambil pengajaran daripada kejadian ini supaya tiada lagi nyawa yang terkorban di musim perayaan ini. Rancang perjalanan anda, pastikan keadaan kenderaan dalam keadaan yang baik dan paling penting pemandu adalah sihat dan sesuai untuk memandu. Patuhi peraturan jalan raya dan hormati hak pengguna jalan raya yang lain semasa memandu kerana nyawa setiap manusia itu sangat berharga.

-MCA online-