Ahli Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan Barisan Nasional (BN) yang kini diterajui UMNO, MCA dan MIC sudah kembali kepada semangat asal penubuhannya seperti waktu parti Perikatan diwujudkan dahulu.

Katanya, selepas pengunduran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) kelmarin, secara tidak langsung mengembalikan BN pada semangat parti Perikatan yang mengamalkan konsep perkongsian kuasa secara bersama serta hak dan kepentingan kaum masing-masing.

“Saya tidak ingin komen mengenai tindakan mereka (GERAKAN) kelur BN kerana sekarang semua parti komponen BN sedang melalui proses pemilihan dalaman dan kepimpinan harus menghormati akar umbi.

“Mungkin mereka (GERAKAN) ada sebab tersendiri tetapi bagi pendirian MCA, kita tidak akan terburu-buru membuat keputusan, MCA bukan parti yang oportunis dan kita memegang pada semangat setiakawan yang sebaiknya,”katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

GERAKAN dalam kenyataan berkata, pengumuman keluar BN diambil bagi membolehkan parti itu menjadi parti bebas yang konstruktif.

-Harian Metro-