Situasi itu tidak seharusnya berlaku kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara am pada masa ini, baik dalam apa juga isu.

Usaha UMNO untuk berbaik-baik dengan Pas walaupun mendapat tentangan oleh parti komponen yang lain di dalam BN tidak sepatutnya dibalas dengan jawapan yang pedas dan keras, apatah lagi dalam situasi `Retak menunggu belah’ selepas kekalahan pada pilihan raya yang lalu.

Janganlah memukul rakan seperjuangan sendiri semata-mata untuk meraikan rakan yang baharu, sebaliknya tenaga dan buah fikiran perlu dipusatkan kepada pihak lawan.

MCA sebagaimana disuarakan oleh Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pastinya mempunyai pandangan yang berbeza dengan kerjasama itu, tetapi janganlah pula beliau dijadikan sasaran oleh para pemimpin UMNO dan dikritik hingga melanggar batas peribadi.

Serangan terbuka hanya berdasarkan laporan media atau media sosial yang tidak memihak kepada UMNO bukan satu tindakan wajar, sedangkan saluran yang sepatutnya sedia ada tidak digunakan dengan sebaik mungkin.

Menjadi ayam sabung di gelanggang sendiri bukanlah satu tindakan yang bijak kerana kesannya akan balik kepada UMNO juga.

Mengapa apabila bekerjasama dengan Pas, parti berkenaan perlu memutuskan hubungan dengan MCA dan parti komponen lain?

Ini akan menyerlahkan lagi sikap atau sifat UMNO yang sebelum ini sering dikaitkan fahaman kemelayuan yang melampau.

Sedangkan ketika Pas bersama-sama DAP mereka berjaya menarik minat orang Cina untuk mendekati parti itu, tapi peranan tersebut seolah-olah gagal dilaksanakan oleh UMNO.

Ahli Jawatankuasa MCA pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker menyarankan agar pemimpin-pemimpin parti komponen BN bersabar, berhemah dan berwaspada apabila berhujah secara terbuka demi memelihara persahabatan, silaturahim dan setiakawan yang telah dipupuk oleh pemimpin-pemimpin Perikatan dan Barisan Nasional selama ini.

“Janganlah kita terlalu emosi sehingga dijadikan “ayam sabung” dalam arena jerat pihak lawan,” pesan beliau.

Beliau melahirkan rasa kesal melihat kecenderungan segelintir pemimpin yang berkecenderungan untuk melatah dan beremosi ayam sabung yang dilagakan dalam arena media politik semata-mata kerana gagal atau tidak bijaksana untuk mendapat penjelasan konteks sebenar kenyataan yang dibuat.

“Bertindak secara “ganas” tanpa soal siasat dan tidak berhemah kata sehingga membinasakan segala persahabatan politik yang telah dipupuk oleh pemimpin-pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan adalah kurang bijak,” ujar beliau. 


Sehubungan itu beliau terus memberi komitmen bahawa parti itu tidak akan menarik diri daripada BN dan terus memegang prinsip kesederhanaan yang selama ini menjadi falsafah politik dan perjuangan parti itu.

Diharapkan para pemimpin BN lebih kerap duduk bersama dan berbincang, apatah lagi ketika perhimpunan agung UMNO akan berlangsung tidak berapa hari lagi. Jika emosi itu tidak dikawal dan ia akan dibawa hingga ahli di akar umbi situasinya akan bertambah buruk.