Keputusan Mahkamah Sesyen mengarahkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella, pastinya memberi sinar dan harapan buat kanak-kanak istimewa itu.

Kes adik Bella ini bukan sahaja untuk memperjuangkan nasib kanak-kanak istimewa itu, malah turut menyaksikan perpaduan rakyat Malaysia. Kita semua mahukan balasan yang setimpal ke atas si pelaku jika benar didapati bersalah atas apa yang telah dilakukan.

Pelbagai pihak termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, selebriti, aktivis dan rakyat Malaysia telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kes ini bagi mendapatkan pembelaan terhadap adik Bella.

Kes ini tidak boleh dianggap mudah dan remeh kerana ia bukan sahaja melibatkan penganiayaan fizikal, malah turut berkait dengan penderaan mental seorang kanak-kanak istimewa. Pasti ianya akan memberi kesan mendalam terhadap Bella.

Perjuangan kes ini masih lagi belum selesai. Kita tidak boleh terlalu awal menarik nafas lega apabila mendengar perintah mahkamah terhadap Siti Bainun. Pendakwaraya perlu kekal mengemukakan bukti-bukti kukuh berhubung kes ini agar Bella dapat pembelaan yang sewajarnya.

Untuk rekod, Siti Bainun mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Datuk Heng Seai Kie
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
25 November 2022

-MCA Online