Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, antara kenamaan yang memeriahkan Malam Puisi Riong: Karya Negaraku di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, malam tadi.

Beliau mendeklamasikan puisi Negeri Ini Anak hasil karya penyair mapan, Marsli NO.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, pula membacakan puisi Seribu Bunga Diterbangkan Angin (Kisah Bangsa, Ceritera Negara).

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan, menitipkan pesan kepada generasi baharu negara ini melalui puisinya dengan konsep berendoi.

Acara baca puisi yang mengangkat tema Inisiatif Negaraku, turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Yang Turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH; Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Bersekutu Berita dan Integrasi Media BH, M Thilinadan dan Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH, Kadir Dikoh.

Baca puisi siri ketiga itu dihadiri lebih 100 penonton termasuk pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Puisi Topeng-topeng

Sementara itu, Thilinadan membacakan puisi Topeng-topeng, karya SN, Datuk Baharudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, manakala penyair yang juga Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Amiruddin Md Ali, membacakan puisinya, Rumah Bangsa Kita.

Pegawai Waran II Ramry Bojeng daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membacakan puisi bertajuk Sumpah Anak Merdeka, manakala Timbalan Ketua Polis Balai, Balai Polis Larkin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Sarjan Mejar Yusuf Ramji, pula mendendangkan puisi Kemerdekaan Yang Diwariskan.

Nyanyian lagu puisi

Malam puisi turut disemarakkan dengan bacaan puisi oleh Pegawai Perancang DBP, E Pian Pro Poul dan Artis Baharu Lelaki popular dan Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Khai Bahar.

Majlis turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu puisi oleh Sani Sudin dan nyanyian Kumpulan Les Properpella dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

-Berita Harian-