Sudah 18 tahun berlalu sejak parti PKR dan DAP mengambil alih pentadbiran negeri Selangor daripada Barisan Nasional. Persoalannya sekarang mengapa hari ini baru membangkitkan isu ketiadaan hospital awam di antara kawasan yang mengalami kepadatan penduduk tertinggi di Selangor?

Sejak dulu lagi, para penduduk di kawasan ini terpaksa ke Hospital Shah Alam atau ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang mampu bayar. Ironinya, jumlah hospital swasta di dalam kawasan Petaling Jaya, Subang dan Puchong pula kelihatan semakin berlambak.

Adakah penduduk di sini tidak layak menerima perkhidmatan kesihatan kerajaan? Baru tahun lepas, pada Januari 2025 kerajaan negeri Selangor telah meluluskan kenaikan kutipan cukai taksiran oleh pihak berkuasa tempatan sebanyak 25 peratus. Jadi apa guna wang ini dikutip kalau tidak disalurkan kembali untuk kebajikan rakyat?

Tambahan lagi, alasan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari kononnya “ketiadaan tanah sesuai” dan “kos tanah terlalu tinggi” juga dilihat menerima kritikan hebat daripada rakyat. Mustahil Selangor sebagai negeri paling kaya dan paling maju, dengan antara kepadatan penduduk tinggi di Malaysia, tidak mampu menyediakan sebidang tanah untuk pembinaan hospital kerajaan, tetapi projek-projek komersial dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan di sekitar kawasan tersebut?

Jelas sekali keutamaan kerajaan Selangor dilihat lebih memihak kepada pihak pemaju berbanding keperluan kesihatan rakyatnya apabila projek hospital awam tidak diberi keutamaan. Rakyat juga bertanya, mengapa isu ini hanya dibangkitkan hari ini apabila Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menjelang. Adakah ini akan menjadi sebahagian manifesto Pakatan Harapan untuk menarik sokongan, walhal pembinaan hospital kerajaan ini sepatutnya menjadi keutamaan 18 tahun lalu?

Tambahan lagi, penduduk di kawasan ini semakin menua, dan bakal kehilangan pendapatan apabila bersara kelak, secara langsung menjadikan keperluan sebuah hospital kerajaan lebih mendesak kerana golongan warga emas ini kemungkinan besar tidak mampu membayar kos mahal untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Ditekankan, isu kesihatan penduduk tidak wajar digunakan sebagai habuan pilihan raya untuk mengugut pengundi menyokong mereka. Kalau PH benar-benar ikhlas menjaga kebajikan penduduknya, mereka perlu menunjukkan keazaman politik untuk mencari tanah yang sesuai, bukannya memberi alasan “kos tinggi”.

Pada bulan Februari lepas, Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Zahri Samingon telah mengumumkan bahawa sebuah hospital kerajaan bakal dibina di kawasan Petaling Jaya. Mengapa pula Menteri Besar berkata tiada tanah yang sesuai? Rakyat Selangor berhak menerima penjelasan atas percanggahan kenyataan ini. 

Datuk Ir. Lawrence Low
Pengerusi MCA Selangor
26 Mei 2026