
“Saya sangat berbangga dengan prestasi dan komitmen YB Lee Ting Han selaku Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.”
Demikian kata Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam audio siar (podcast) Keluar Sekejap yang dihoskan oleh bekas menteri Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan.
Menurut beliau, Ting Han yang juga ADUN Paloh telah menunjukkan prestasi cemerlang khususnya dalam usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri itu.
Sambil menyifatkan pemimpin MCA itu sebagai antara pemimpin muda yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Johor, Onn Hafiz turut menaruh harapan, masyarakat Cina dapat mengubah persepsi mereka.
"Saya harap masyarakat Cina dapat melihat keberkesanan YB Lee Ting Han sebagai EXCO muda yang dapat kita ketengahkan. Mungkin ada masyarakat Cina yang skeptikal (ragu-ragu) dengan MCA. Jangan hukum pemimpin-pemimpin muda yang baik, yang dapat berkhidmat kepada negeri dan masyarakat." katanya.
Penerangan MCA
26 Mei 2026