Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam satu kenyataan rasmi kementerian yang kononnya menunjukkan kepelbagaian Bahasa di Malaysia menimbulkan persoalan sama ada, jabatan-jabatan kerajaan lain di bawah Pakatan Harapan akan turut menggunakan Bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil dalam urus tadbir mereka atau sebaliknya.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon berkata, mengikut Guan Eng, tiada siapa yang boleh menghalang orang lain dari berkomunikasi, mengajar atau belajar Bahasa lain dan perkara itu termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka saya berharap agar semua jabatan kerajaan dalam Pakatan Harapan akan mengikut langkah yang sama dengan mengeluarkan kenyataan dalam pelbagai Bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi dalam Bahasa Mandarin menerima kecaman pelbagai pihak.

Kim Soon memberitahu, adalah sesuatu yang tidak relevan sekiranya dikatakan penggunaan pelbagai bahasa hanya melibatkan Kementerian Kewangan dan tiada kena-mengena dengan agensi kerajaan lain.

-Utusan Online-