Keputusan kerajaan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj untuk kapal asing bagi kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut adalah untuk memelihara kepentingan industri perkapalan negara serta demi manfaat rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengulangi pendirian bahawa keputusan yang dibuat itu tidak menyekat mana-mana pihak termasuk syarikat dan kapal asing serta kemasukan pelabur asing ke negara ini.

"Ini kerana, sekiranya kapal tempatan tidak berupaya melakukan kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut, maka kapal asing dibenar melakukan kerja berkenaan.

"Bahkan di dalam sesi dialog, saya memberikan jaminan sekiranya kapal tempatan tidak boleh melakukan kerja pembaikan atau berada terlalu jauh dari tempat yang memerlukan kerja pembaikan, maka kerja itu akan diserahkan kepada kapal asing," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi dialog bersama syarikat gergasi teknologi iaitu Google, Facebook, Microsoft dan Malaysia Internet Exchange (MyIX) mengenai Dasar Kabotaj Negara di Kementerian Pengangkutan (MOT), Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak; Setiausaha Bahagian Maritim MOT, Kapten Mohamad Halim Ahmed; Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Chuan Ou serta wakil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sebahagian daripada mereka menyertai sesi dialog secara sidang video.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, tiga isu utama yang dibincangkan ialah mengenai Dasar Kabotaj, Sistem Elektronik DSL (eDSL) dan keupayaan kapal tempatan dalam kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut.

Menurutnya, MOT menerangkan secara terperinci berhubung keputusan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj untuk menggunakan kapal asing bagi kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut seperti diwartakan dan berkuat kuasa pada 15 November lalu.

"Keputusan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan antaranya mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk bayaran fret (freight) atau perjanjian penyewaan kapal dan insuran di dalam 'Balance of Payment Account' negara.

"Selain itu, ia dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan, membina kapasiti perkapalan domestik dan meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestik, meningkatkan kepakaran teknikal melalui pembangunan sumber manusia dalam kalangan warga tempatan serta memastikan keselamatan negara dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia," katanya.

-Berita Harian-