MCA hari ini menuntut penjelasan kerajaan Pulau Pinang mengenai peruntukan RM400,000 yang diluluskannya untuk membayar sewa sebuah muzium komik yang dikendalikan oleh bekas ahli DAP Hew Kuan Yau yang lebih dikenali sebagai ‘Superman.”

Ketua Pemuda MCA Bukit Mertajam Tan Yang Pang membidas tindakan kerajaan negeri menggunakan hasil pelancongan negeri untuk membayar sewa Muzium Komik Asia Pulau Pinang.

Menurut Tan, Dewan Undangan Negeri dimaklumkan 12 Oktober lalu bahawa RM413,940 diperuntukkan untuk membayar sewa muzium berkenaan.

Peruntukan itu sebahagian daripada RM20.1 juta cukai pelancongan persekutuan 2018-2019 yang diperolehi oleh kerajaan negeri.

Tan mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri memberikan peruntukan itu kepada muzium berkenaan, khususnya ketika penduduk negeri yang terjejas akibat Covid-19 memerlukan pembelaan.

“RM400,000 cukup untuk membantu 800 orang yang hilang pekerjaan dengan tiap seorang menerima RM500. Peruntukan itu juga boleh disalurkan untuk tujuan lebih baik, contohnya membantu mereka yang terbabit dalam industri pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19,” kata beliau.

Tan, yang juga timbalan setiausaha organisasi pemuda MCA pusat, berkata muzium yang dikendalikan oleh ‘Superman’ Hew itu adalah milik swasta dan tidak patut menerima layanan khas kerajaan negeri.

“Kenapa muzium milik swasta yang lain tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri?,” kata Tan.

Oktober lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan membayar sewa muzium itu sehingga bulan depan selaras dengan perjanjian yang di meterai 2016.

Beliau menafikan muzium itu dimiliki kerajaan negeri namun menyifatkan ia sebagai produk unik untuk menjadikan Komtar sebagai tumpuan pelancong dan hub perniagaan.

Hew yang digelar Superman kerana sering menyarung baju-T watak komik itu, berkata pihaknya akan menjawab isu yang dibangkitkan oleh MCA esok.

-Free Malaysia Today-