Kementerian Kewangan diarah untuk memantau dan mengehadkan kemasukan slot mesin judi ke Malaysia, bagi menghalang kegiatan mesin judi yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Wee Ka Siong, Selangor dan Pulau Pinang dilaporkan dua negeri yang paling serius dilanda kegiatan judi berkenaan.

"Sesetengah pihak menggunakan nama 'pusat riadah sekeluarga' bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa menjalankan aktiviti perjudian.

"Sebab itulah didapati sesetengah negeri sudah tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan tersebut," kata Ka Siong kepada China Press.

Beliau turut menegaskan, judi bukanlah budaya masyarakat Cina, sebaliknya kaum lain turut terbabit sehingga pihak berkuasa terpaksa meningkatkan pembanterasan dengan serius.

"Kini terdapat banyak mesin judi ditempatkan di tempat-tempat tertentu. Pihak berkuasa perlu siasat masalah ini. Sepatutnya pemegang lesen ini perlu memohon lesen daripada Kementerian Kewangan.

"Terdapat banyak pusat judi haram walaupun dikenakan tindakan seperti menyita mesin judi, tapi ia kembali menjalankan perniagaan seperti biasa. Oleh itu, yang penting ialah menyekat kemasukan kelengkapannya," katanya.

-Sinar Harian-