Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai dengan Singapura mengundang persoalan tentang mengapa tidak dilakukan semasa kali pertama menjadi Perdana Menteri walaupun berpeluang melakukannya.

Hal ini kerana menurut Jurucakap Publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berdasarkan kepada satu artikel dalam laman web Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, perjanjian air pada tahun 1961 dan 1962 boleh dinilai semula selepas 25 tahun iaitu pada tahun 1986 dan 1987 semasa tempoh pentadbiran Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Namun begitu, berliau berkata, sukar dipercayai mengapa Dr. Mahathir memilih untuk tidak kaji semula perjanjian melibatkan harga air pada waktu itu.

“Peluang yang dilepaskan Dr. Mahathir itu sekali gus tidak memberi kelebihan kepada negara berhubung isu perjanjian air ini.

“Bukan itu sahaja, Dr. Mahathir juga berpeluang melakukan kajian semula apabila isu air sekali lagi diperkatakan pada tahun 1998, namun rundingan tersebut juga tidak membawa kejayaan kepada negara.

“Walaupun Dr. Mahathir cuba menghidupkan semula isu ini selepas 30 tahun, namun perkara tesebut tidak dapat menafikan bahawa beliau telah berpeluang melakukan kajian semula dahulu,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

-Utusan Online-