Wanita MCA sekali lagi ingin menyuarakan kebimbangan yang sangat serius membabitkan isu buli di sekolah dan sekolah berasrama.

Dalam kes terbaru (25 Jun 2022), seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 dipukul teruk oleh 10 pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun dan kemudian badannya ditekap dengan seterika panas sekitar jam 12.30 malam ketika di asrama.

Menurut Ketua Polis Perak, pelajar membuli mangsa hanya kerana mangsa berbual dengan seorang pelajar perempuan, iaitu teman wanita kepada seorang daripada 10 suspek yang memukul mangsa berkenaan.

Perbuatan kejam menekap pelajar dengan seterika panas ini pernah membuatkan rakyat Malaysia kembali trauma, setelah kematian pelajar Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) yang menemui ajal akibat diseksa setelah ditekap seterika panas berkali-kali oleh sekumpulan 18 suspek yang juga rakan sepengajiannya.

Sampai bilakah kes buli di sekolah atau institusi pengajian tinggi ini akan menemui kesudahan?

Kita ingatkan, kematian mendiang Zulfarhan yang dikatakan hanya berpunca daripada kekeliruan melibatkan sebuah komputer riba – akan memberi iktibar kepada masyarakat.

Tetapi, kejadian terbaru ini menunjukkan perbuatan menyeksa pelajar lain ini masih berlaku di sekolah berasrama.

Ini bukanlah kes buli pertama sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai kecederaan fizikal dan mental yang teruk.

Perbuatan buli ini perlu dihentikan dan ditangani sepenuhnya.

Kita sudah tentu tidak mahu masyarakat menjadi trauma dan terus melabel sekolah berasrama di Malaysia tidak selamat.

Justeru, Wanita MCA sekali lagi menggesa agar aspek pemantauan di asrama seperti pemeriksaan mengejut secara berkala serta penguatkuasaan yang sewajarnya segera diperkasakan.

Semua pihak wajar berganding bahu bagi membendung masalah ini. Kita perlu juga melihat latar belakang pembuli tersebut. Agak tidak masuk akal apabila pelajar yang layak memasuki sekolah berasrama yang baik bertindak agresif, kejam dan di luar batas kemanusiaan. Aspek psikologi dan latar belakang pelajar perlu diteliti.

Kami juga berharap agar pihak sekolah mahupun IPT tidak sama sekali merahsiakan sebarang perbuatan buli yang terjadi di tempat masing-masing.

Seperti yang pernah dicadangkan oleh Wanita MCA sebelum ini, mungkin sudah tiba masanya hukuman yang lebih berat dan setimpal dijatuhkan kepada pembuli-pembuli ini.

Sekadar menggantung sekolah tidak menyelesaikan masalah. Sudah tiba masanya perbuatan ini dijadikan satu jenayah.

Ivone Low Yi Wen
Ketua Beliawanis MCA
27 Jun 2022

- MCA Online