28 Mac 2023

Kenyataan Media Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong

Henti 'wayang politik' yang boleh jejas kepentingan dan imej baik negara

Kenyataan media ini adalah untuk membalas kenyataan YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan pihak pembangkang yang mempertikaikan pencapaian hasil lawatan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

YB Wan Ahmad Fayhsal mendakwa lawatan YAB Perdana Menteri gagal kerana tidak dapat menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud. Kenyataan ini menunjukkan bahawa beliau tidak faham atau pura-pura tidak faham asas diplomasi dalam konteks hubungan antarabangsa.

Sebagai seorang bekas diplomat yang pernah berkhidmat bersama Kementerian Luar Negeri selama 13 tahun, saya menganggap tindakan pihak pembangkang yang sengaja mempermainkan isu lawatan YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah berniat jahat dan sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti kerajaan tanpa asas yang kukuh. Ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik.

Adalah jelas bahawa lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi pada kali ini adalah atas jemputan pihak kerajaan Arab Saudi. Selain itu, YAB Perdana Menteri juga telah diberikan taraf tetamu (guest status) penuh oleh pihak Kerajaan Arab Saudi dengan pemberian kemudahan dan layanan yang setimpal sepanjang lawatan tersebut.

Tambahan lagi, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir sebelum ini telah terlebih dahulu mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi. Ini menunjukkan bahawa setiap perincian telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur sebelum lawatan YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi.

Sebagai blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) berhak untuk memberikan komen atau kritikan terhadap kerajaan berdasarkan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi. Namun, setiap kenyataan atau kritikan itu seharusnya lebih bersifat profesional dan objektif. Pihak pembangkang tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang kurang tepat demi mempengaruhi persepsi rakyat selain bermain dengan isu yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain.

YB Wan Ahmad Fayhsal juga pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan terdahulu dan saya pasti ramai di kalangan mereka sebenarnya arif dalam aspek protokol dan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi setiap lawatan pemimpin kita ke luar negara. Malah, kejadian seumpama ini juga pernah berlaku ke atas pemimpin kita sebelum ini termasuk semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Ke-8 ke Arab Saudi pada Mac 2021 dan lawatan rasmi Perdana Menteri Ke-9 ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac 2022.

Sekiranya masih kurang jelas, saya sarankan supaya YB Wan Ahmad Fayhsal merujuk kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Ahli Parlimen Pagoh) dan mantan Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota) yang pada ketika ini berada di blok pembangkang. Saya yakin kedua-dua orang tokoh politik ini sangat arif dan memahami keadaan sebenar.

Tiada gunanya sekiranya kita hanya melihat ke belakang dan sengaja mencari kesalahan pihak lawan. Tatkala rakyat dan negara sedang berdepan dengan cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, adalah lebih baik sekiranya semua pihak dapat tumpukan lebih perhatian terhadap urus tadbir negara dan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

MCA Bantu Perkukuh Jalinan Hubungan Dua Hala dan Kerjasama Serantau

Dalam masa sama, MCA ingin memberi saranan kepada Kerajaan Perpaduan agar tumpukan sepenuh perhatian dalam memperkukuhkan imej dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa. Sehubungan itu, lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Kemboja dan China adalah sangat penting dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kemboja merupakan salah sebuah negara anggota ASEAN dan mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Malaysia manakala China merupakan antara rakan dagang Malaysia yang paling penting dan strategik. 

MCA sentiasa memainkan peranan penting dan menjadi jambatan kepada hubungan diplomatik Malaysia-China. Ini dapat dibuktikan melalui penglibatan MCA dalam membantu dan menyokong usaha Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Dato’ Hussein sehingga terjalinnya hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan China pada tahun 1974. Untuk rekod, Malaysia juga merupakan antara negara anggota ASEAN yang terawal menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Demi kepentingan rakyat dan negara, MCA kekal komited dan akan terus menyokong segala usaha Kerajaan Perpaduan dalam mempertingkatkan jalinan hubungan dua hala dengan China, khususnya melalui kerjasama ekonomi dan pendidikan. Berdasarkan pengalaman dan jaringan hubungan yang terbina selama ini, MCA yakin dapat membantu menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia bagi membina semula ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19 dan kelembapan ekonomi dunia.

Tambah Peruntukan dan Perkukuh Wisma Putra sebagai “Wadah Diplomasi” Malaysia MADANI

Sebagai bekas diplomat, saya juga amat prihatin dan ingin menyarankan agar Kerajaan Perpaduan dapat memberikan lebih perhatian dengan menambah peruntukan kepada Kementerian Luar Negeri bagi memperkukuh hala tuju dasar luar negeri Malaysia. Jika dilihat kepada bajet yang dibentangkan oleh Kementerian Luar Negeri yang bernilai hanya RM971 juta di Dewan Rakyat baru-baru ini, adalah sukar untuk Kementerian ini yang mempunyai 105 buah pejabat perwakilan di luar negara untuk beroperasi secara lebih efektif.

Selain itu, penurunan nilai mata wang Ringgit dan kenaikan kadar inflasi di kebanyakan ibu negara di seluruh dunia turut memberi kesan dan menyukarkan lagi usaha para diplomat kita untuk melaksanakan tugasan mereka bagi mempromosikan Malaysia serta meningkatkan lagi jalinan kerjasama dengan negara-negara lain.

-MCA online-