28 Mac 2023

Kenyataan Media Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Ir Lawrence Low

Pencarum SSPN hilang kelayakan pelepasan cukai : Teliti semula keputusan demi kebaikan rakyat dan negara - Lawrence Low

Saya melihat kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, YB Steven Sim semalam yang mengatakan bahawa bermula tahun 2023 ini pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000, merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan tujuan murni menggalakkan orang ramai menyimpan duit untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka.

Kerajaan sepatutnya meningkatkan pelepasan cukai untuk mendorong orang ramai menyimpan wang, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global dan domestik yang tidak stabil pada ketika ini. Malah, saya juga melihat alasan yang diberikan oleh YB Steven Sim berhubung perkara ini amatlah tidak meyakinkan.

Jika diperhatikan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menghadapi tekanan kewangan pada masa ini. Justeru, dengan memberi galakan kepada orang ramai supaya menabung demi masa depan anak-anak mereka juga pastinya akan dapat membantu meringankan tekanan PTPTN dalam menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan, seterusnya membantu kerajaan dalam mengurangkan tekanan kewangan.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi turut mengakui bahawa segala dasar kerajaan perlulah selari dengan keperluan rakyat. Memetik laporan media, ketika ditanya kemungkinan pencarum berhenti mencarum susulan perkembangan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan pandangan orang ramai kepada kerajaan bagi memastikan dasar berkenaan selari dengan keperluan rakyat. Menurutnya lagi, cadangan untuk mengkaji semula keputusan menghentikan insentif berkenaan adalah di pihak rakyat.

Oleh yang demikian, saya merayu dan memohon kerajaan menerusi Kementerian Kewangan supaya menarik balik pengumuman yang telah dibuat oleh YB Steven Sim. Berilah rakyat ruang untuk terus 'bernafas' disaat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan tidak stabil pada ketika ini. Orang ramai pastinya menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan Malaysia Madani yang dapat membela nasib rakyat disaat memerlukan dan ketika rakyat hampir 'lemas' pada ketika ini.

-MCA online-