
Wanita MCA memandang serius berhubung pendedahan seorang bekas guru, Mohd Fadli Salleh berhubung seorang guru yang mempunyai kes amang seksual terhadap murid hanya ditukarkan ke sekolah lain tanpa tindakan tegas sehingga didakwa kembali mencari 'mangsa' baharu.
Jika dakwaan ini benar, ia merupakan satu kegagalan besar dalam sistem perlindungan terhadap kanak-kanak dan menujukkan kelemahan sistem pendidikan negara terhadap pengendalian kes melibatkan keselamatan murid di sekolah.
Wanita MCA turut menyokong desakan yang dibangkitkan Mohd Fadli iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera menggubal semula prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur pengendalian kes guru yang terlibat dengan dakwaan pedofilia, amang seksual, cabul dan kesalahan seksual lain.
Guru yang sedang disiasat atau mempunyai kes berkaitan keselamatan seksual murid tidak sepatutnya ditempatkan di mana-mana sekolah sementara siasatan berjalan sebaliknya tempatkan mereka di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau lokasi yang tidak melibatkan murid kerana tindakan menukarkan mereka ke sekolah lain hanya membuka ruang kepada lebih ramai murid menjadi mangsa.
Wanita MCA juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif untuk menyiasat sekiranya wujud unsur penyalahgunaan kuasa, perlindungan terhadap individu tertentu atau cubaan menutup kes sehingga membahayakan keselamatan murid.
Menerusi tangkap layar yang didedahkan oleh Mohd Fadli Salleh, maklumat tersebut dikatakan dibuat oleh anggota polis. Ini secara tidak langsung menunjukkan tahap keyakinan masyarakat terhadap KPM sudah semakin terhakis sehingga terpaksa menggunakan saluran pihak ketiga untuk mendapatkan tindakan sewajarnya.
Keutamaan mesti diberikan kepada keselamatan murid, bukannya menjaga imej institusi atau melindungi pihak tertentu.
Wanita MCA menegaskan bahawa sekolah mesti menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan, bukannya tempat mereka terdedah kepada risiko pemangsa seksual.
KPM perlu bertindak segera, telus dan tegas sebelum lebih ramai murid menjadi mangsa akibat kelemahan prosedur sedia ada.
YB Senator Datuk Wong You Fong
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
28 Mei 2026