28 November 2019

Kenyataan Media Timbalan Ketua Pemuda MCA, Sdr Tan Chee Hiong

Rakyat tetap susah walaupun harga petrol dinaikkan secara berperingkat

Belum sempat rakyat mengatasi kekecewaan mereka terhadap kegagalan kerajaan Pakatan Harapan untuk menurunkan harga petrol kepada RM1.50 seliter, kini mereka dikejutkan pula dengan pengumuman bahawa harga petrol akan dinaikkan secara berperingkat mulai tahun depan.

Lebih mengejutkan, kenaikan satu atau dua sen setiap minggu ini didakwa akan mengelak kenaikan harga barangan dan tidak akan membebankan pengguna. Adakah kerajaan PH mepersendakan rakyat atau diri mereka sendiri? Adakah mereka tidak faham asas ekonomi? Tak kira harga petrol dinaikkan sekaligus ataupun secara berperingkat, akhirnya apabila harga petrol mencecah harga pasaran, kos barang sudah pasti akan meningkat.

Sebelum ini, Program Subsidi Petrol yang diumumkan kerajaan PH juga dikritik ramai orang kerana tidak merangkumi semua golongan B40, dan pemberian RM12 dan RM30 untuk pemilik kereta dan motosikal masing-masing tidak cukup menampung kenaikan kos sara hidup yang bakal berlaku akibat kenaikan harga petrol.

Malangnya, kerajaan PH nampaknya masih tidak mahu belajar daripada kesilapannya. Sudahlah. Jangan menipu rakyat lagi.

-MCA online-